
HAJIJI
TAWAU: Kerajaan negeri akan memantau kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna susulan pelaksanaan semakan semula kadar sedia ada di Sabah dan Labuan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bagaimanapun menegaskan bahawa kenaikan tarif berkenaan adalah minimum dan tidak membebankan majoriti pengguna di negeri ini.
Katanya, peningkatan bayaran yang ditanggung pengguna adalah kecil berbanding manfaat yang diperoleh melalui penambahbaikan kualiti bekalan elektrik.
“Kita akan sentiasa melihat kesannya, namun saya fikir impaknya hanya sedikit. Jika sekarang seseorang membayar RM100, tambahan mungkin sekitar RM15 sahaja.
“Jadi ia tidak membebankan sangat sekiranya dengan bayaran itu kita mendapat bekalan elektrik yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung yang baharu di Taman Sawit, Balung, hari ini.
Hajiji berkata, pelaksanaan semakan semula tarif elektrik oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) yang menyaksikan pelarasan kadar purata asas daripada 34.52 sen/kilowatt jam (kWj) kepada 39.70 sen/kWj.
Menurutnya, kadar baharu itu telah diluluskan oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira keperluan semasa serta kos sebenar penjanaan tenaga di Sabah.
“Tarif elektrik di Sabah masih rendah berbanding di Semenanjung. Kenaikan ini hanya sekitar lima sen atau 15 peratus dan tidak begitu membebankan rakyat biasa, khususnya kira-kira 70 hingga 80 peratus pengguna domestik di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan kos operasi dan penjanaan tenaga yang semakin tinggi ketika ini.
“Kos yang kita tanggung sekarang semakin meningkat. Justeru, pelarasan ini perlu bagi memastikan kelangsungan sistem bekalan elektrik di negeri ini,” katanya.
Hajiji turut memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan ketika ini menyalurkan subsidi bekalan elektrik di Sabah berjumlah kira-kira RM700 juta setahun, atau RM3.5 bilion bagi tempoh lima tahun.
“Subsidi ini tidak boleh diteruskan tanpa had. Dengan kenaikan kecil sekitar lima sen ini, ia dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada subsidi Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata, Kabinet Negeri bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) dan SE selepas mengambil kira peningkatan kos operasi serta keperluan jangka panjang sektor tenaga di Sabah.
Sumber : Utusan Borneo
|