AMINUDDIN Harun (kanan) pada sidang media di Seremban hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil
Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan bersedia membawa semula usul mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar (MB) kepada dua penggal selaras dengan rang undang-undang (RUU) had tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) yang akan dibentangkan tidak lama lagi.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara berkenaan pernah dibawa ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2021, namun ditolak.
"Kita boleh bawa RUU itu semula ke sidang DUN akan datang. Saya pun tiada masalah.
"Sebelum ini (2021) pernah dibawa tapi ditolak kerana tak cukup undi disebabkan tidak mendapat sokongan daripada wakil rakyat Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Pada persidangan DUN awal Disember 2021, pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 bagi Perkara 38 berkaitan mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan kepada dua penggal tidak diluluskan apabila tidak mendapat sokongan dua pertiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Ketika itu, hanya 19 ADUN bersetuju, 13 tidak bersetuju manakala empat ADUN tidak hadir sesi pengundian.
Sebelum ini Exco Kanan yang juga Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata, pihaknya bersetuju sekiranya tempoh perkhidmatan MB turut dihadkan tidak melebihi 10 tahun.
Beliau dilapor berkata, cadangan itu perlu dipertimbangkan di peringkat negeri kerana mampu mewujudkan urus tadbir yang lebih baik.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri menyambut baik cadangan pembinaan Hospital Pengajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di Nilai kerana dapat memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
"Kerajaan negeri mengalu-alukan cadangan ini pembinaan kerana sememangnya dinantikan oleh penuntut dan pendidik.
"Kita juga berharap hospital berkenaan nanti dapat digunakan untuk memberikan perkhidmatan rawatan kesihatan kepada rakyat terutama penduduk Nilai dan bukan hanya kepada sektor pendidikan perubatan," katanya.
|