
Paul (kiri) dan Wellie.
KUCHING: Persatuan Intelektual Pribumi Sarawak (PERANTIS) menyokong penuh cadangan supaya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) dibahaskan secara rasmi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan datang.
Cadangan untuk membahaskan PDA74 dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Christopher Gira Sambang bagi memperjelaskan autoriti kawal selia industri minyak dan gas di negeri ini.
Pengasas PERANTIS Wellie Henry Majang dan Penasihat Undang-Undang PERANTIS Paul Raja dalam satu kenyataan bersama berkata, PERANTIS melihat gesaan PDA74 dibahaskan secara rasmi sewajarnya sebagai usul yang menjadi keutamaan.
Industri minyak dan gas katanya, adalah tulang belakang ekonomi Sarawak yang menjadi pengerak kepada industri lain yang bertapak di negeri ini dan dari segi kewangan, ia adalah sumber utama bagi Sarawak.
“Isu pertikaian PDA74 ini sudah lebih 50 tahun dan selari dengan perkembangan ekonomi baharu di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, sudah tiba masanya kerajaan persekutuan dan Kerajaan Sarawak mencari penyelesaian holistik bagi menyelesaikan isu ini.
“Oleh itu, cadangan Christopher Gira selaku Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) untuk membahas isu tersebut adalah tepat pada masanya,” katanya.
Tambah Wellie dan Paul, oleh kerana sumber minyak dan gas adalah milik semua rakyat Sarawak, maka adalah sangat bertepatan bagi isu itu dibahas sepenuhnya oleh wakil rakyat di DUN Sarawak.
Selari dengan pemulangan hak milik Sarawak di bawah pemulihan status menjadi wilayah ketiga dalam rakan kongsi Malaysia, maka adalah sangat wajar hak milik Sarawak terhadap pelantar benuanya juga dipulangkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perkara 1(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.
“Perlu diingatkan bahawa Pindaan Perkara 1(2)(b) Perlembagaan Persekutuan tidak membawa makna yang signifikan tanpa adanya pemulangan hak milik Sarawak ke atas pelantar benuanya sepanjang waktu MA63 telah diabaikan.
“Oleh itu, PDA74 juga perlu disemak semula supaya selaras dengan kehendak MA63,” katanya.
|