Edited by Vellfire at 25-1-2026 07:27 AM
Penyeragaman kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun mesti dinilai berdasarkan realiti kedua-dua negeri

PETER
KUCHING: Penyeragaman kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun bermula tahun depan mesti dinilai berdasarkan realiti yang dihadapi oleh Sabah dan Sarawak, lebih penting hak-hak dijamin di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Aktivitis hak asasi manusia, Peter John Jaban berkata kedua-dua wilayah Borneo itu tidak sama dengan Semenanjung Malaysia kerana di bawah MA63, Sabah dan Sarawak diberikan perlindungan khas serta pengiktirafan terhadap keadaan geografi, sosial dan perkembangan mereka yang unik, termasuk autonomi dan fleksibiliti dalam hal ehwal pendidikan.
Beliau menegaskan sebarang dasar pendidikan yang mengabaikan realiti ini adalah bertentangan dengan semangat dan niat MA63.
“Sebahagian besar Sabah dan Sarawak masih luar bandar dan terpencil, dengan banyak komuniti masih kekurangan infrastruktur asas.
“Terdapat kampung-kampung tanpa jalan raya yang betul, tanpa perkhidmatan bas atau bot yang boleh dipercayai dan dalam beberapa kes tanpa sekolah rendah dalam jarak yang selamat dan munasabah.
“Kanak-kanak sering terpaksa menempuh jarak jauh melalui sungai, hutan dan kawasan berbahaya hanya untuk bersekolah. Sekolah di Sarawak amat membimbangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Peter, terdapat 298 sekolah masih dalam keadaan yang usang, 14 sekolah rendah masih bergantung kepada penjana kuasa untuk elektrik dan 428 sekolah masih belum mempunyai akses kepada air terawat.
“Dalam konteks ini, penguatkuasaan kemasukan Darjah Satu pada usia enam tahun menimbulkan kebimbangan yang serius.
“Bagaimanakah keselamatan kanak-kanak berusia enam tahun di pedalaman Sabah dan Sarawak dapat dijamin?
“Adakah terdapat asrama, bantuan pengangkutan, guru dan kemudahan sekolah yang mencukupi untuk menyokong mereka?” soalnya.
Beliau juga bertanya sama ada Sabah dan Sarawak diberi kuasa untuk menentukan kesediaan berdasarkan keadaan tempatan, seperti yang dibayangkan di bawah MA63. Aktivitis itu turut mengingatkan kerajaan persekutuan untuk terlebih dahulu membaiki, menaik taraf dan melengkapkan sepenuhnya semua sekolah luar bandar di Sarawak, termasuk bangunan sekolah, infrastruktur keselamatan, asrama, sistem pengangkutan serta sumber pengajaran, sebelum melaksanakan sebarang dasar yang mewajibkan kanak-kanak seawal usia enam tahun masuk ke Tahun Satu.
“Reformasi pendidikan tidak boleh dilakukan melalui pendekatan berpusat dan setara untuk semua.
“Pembaharuan tulen memerlukan pelaburan awal dan besar dalam infrastruktur, sekolah luar bandar, sistem pengangkutan, kebajikan guru dan kemudahan asas, terutama di Malaysia Timur,” ujarnya.
Beliau menegaskan menghormati MA63 memerlukan lebih daripada retorik, ia memerlukan perundingan yang bermakna, fleksibiliti dasar dan pembiayaan persekutuan mencukupi untuk menangani jurang pembangunan yang berpanjangan.
“Tanpa langkah-langkah ini, dasar sedemikian berisiko melebarkan jurang pendidikan, membahayakan keselamatan kanak-kanak dan menjejaskan kedudukan perlembagaan Sabah dan Sarawak.
“Sabah dan Sarawak tidak menolak pembaharuan pendidikan tetapi apa yang ditolak adalah pembaharuan yang mengabaikan realiti serantau, keselamatan kanak-kanak dan hak MA63,” katanya.
Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bermula tahun depan (2027), ibu bapa diberi pilihan untuk mendaftar anak mereka yang berusia lima tahun ke prasekolah dan enam tahun ke Tahun Satu (sekolah rendah).
Anwar berkata ibu bapa boleh memilih untuk anak-anak mereka dimasukkan ke Tahun Satu sama ada pada usia enam atau tujuh tahun.
|