
SURYADY
KALABAKAN: Isu penegasan sempadan Malaysia-Indonesia di kawasan Pulau Sebatik dan sekitarnya tidak dilakukan secara sewenang-wenangnya, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.
Katanya, ia telah dilakukan melalui proses rasmi dua hala yang melibatkan rundingan teknikal dan diplomatik antara kedua-dua kerajaan.
“Kebimbangan mengenai kesejahteraan komuniti perbatasan adalah wajar, namun penetapan sempadan mengambil kira rujukan sejarah, peta lama serta perbezaan tafsiran yang wujud sejak era terdahulu.
“Walaupun sempadan Pulau Sebatik dilihat jelas dari sudut sejarah, perbezaan tafsiran mendorong rundingan bersama agar garis sempadan dapat ditentukan secara teratur, sah di sisi undang-undang dan diterima oleh kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Suryady berkata, isu ini tidak wajar dilihat sebagai merugikan komuniti perbatasan. Sebaliknya, kejelasan sempadan mampu menjamin pentadbiran yang teratur, melindungi hak penduduk setempat serta membuka ruang kepada kerjasama pembangunan dan ekonomi rentas sempadan yang lebih tersusun.
Menurutnya, Malaysia kekal komited memastikan proses penegasan sempadan mengambil kira kestabilan serantau, kebajikan masyarakat di kawasan perbatasan dan hubungan baik antara dua negara serumpun.
“Isu ini wajar ditangani melalui saluran diplomatik, dialog kerajaan pusat dan mekanisme rasmi, bukan melalui polemik awam yang berpotensi mengeruhkan hubungan dua hala.
“Hubungan Malaysia-Indonesia perlu terus dipandu oleh prinsip saling menghormati kedaulatan, kepercayaan bersama dan penyelesaian berasaskan fakta demi kepentingan rakyat di kedua-dua belah sempadan,” katanya.
|