Edited by Vellfire at 25-1-2026 06:49 AM

RASMI: Joachim (dua kiri) mewakili Hajiji menerima cenderakenangan daripada penganjur.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang giat memperkukuhkan Mahkamah Anak Negeri dengan memastikan bidang kuasanya jelas dan mencukupi, selain membina struktur institusi yang mantap serta disokong pegawai berintegriti dan berwibawa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu turut merangkumi penambahbaikan prosedur supaya lebih moden, teratur dan berkesan selaras dengan keperluan semasa.
Katanya, bagi tahun ini kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM84.40 juta bagi perbelanjaan mengurus dan melaksanakan pelbagai program demi memastikan kebajikan serta adat resam anak negeri terus terpelihara.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM69.98 juta diperuntukkan bagi bayaran elaun dan pentadbiran Ketua-Ketua Adat Negeri.
“Selain itu, RM2.70 juta disalurkan untuk meneruskan projek pembinaan Mahkamah Anak Negeri di Tamparuli, Sook dan Paitan,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Seminar Empowering Native Justice - The Way Forward di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam
Beliau turut menegaskan bahawa perundangan yang mentadbir adat anak negeri wajar dikaji dan diperkemas memandangkan sebahagiannya digubal sejak zaman kolonial dan tidak lagi sepenuhnya selari dengan realiti hari ini.
“Undang-undang itu lahir dalam suasana dan keadaan yang sangat berbeza. Hari ini, Sabah dan masyarakatnya telah berubah dengan pantas dari segi nilai ekonomi, struktur sosial serta cabaran kehidupan.
“Oleh itu, undang-undang juga perlu berubah, bukan untuk menafikan adat dan warisan, tetapi bagi memastikan keadilan kekal relevan dan berfungsi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap seminar berkenaan dapat menjadi medan perbincangan yang berani dan jujur, berpaksikan kepentingan Sabah bagi mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh.
Menurutnya, usaha memperkukuhkan undang-undang serta sistem keadilan anak negeri bukan langkah ke belakang, sebaliknya satu langkah ke hadapan demi memastikan Sabah melangkah ke masa depan tanpa mengorbankan jati diri dan warisannya.
“Program ini amat signifikan kepada masa depan rakyat Sabah, khususnya anak-anak negeri, memandangkan Sabah kaya dengan adat, identiti dan budaya yang berakar umbi sejak turun-temurun,” katanya.
|