CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 17762|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pulau Pinang sasar pasang 5,000 CCTV menjelang Oktober

[Copy link]
Post time 25-1-2026 01:18 AM | Show all posts |Read mode
Pulau Pinang sasar pasang 5,000 CCTV menjelang Oktober

BERNAMA - Januari 24, 2026 @ 4:44pm





Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Perasmian Seberang Perai Aspire Centre dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Santuni Komuniti di MBSP hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kiri). - Foto BERNAMA



BUKIT MERTAJAM: Pulau Pinang menyasarkan pemasangan 5,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh negeri termasuk 1,000 unit di Seberang Perai menjelang Oktober ini bagi menjaga keselamatan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata pendekatan itu selaras dengan penggunaan teknologi pintar seperti Internet benda (IoT), data raya dan kecerdasan buatan (AI) bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih selamat dan responsif.

"Pemasangan CCTV juga bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pihak berkuasa tempatan seiring dengan perubahan teknologi maya dan sebagaimana ditekankan, teknologi dan digitalisasi perlu diterjemahkan kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan awam, ketelusan tadbir urus dan kesejahteraan rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Seberang Perai ASPIRE Centre (SPACE) dan Program Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Santuni Komuniti di sini hari ini.

Perasmian itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Datuk Bandar Seberang Perai Datuk Baderul Amin Abdul Hamid serta barisan exco kerajaan negeri.

Beliau berkata seiring hasrat itu, penubuhan SPACE sebagai pusat operasi bersepadu MBSP bakal memperkukuh pengurusan bandar pintar melalui integrasi data, sistem aduan pintar, pemantauan trafik, keselamatan awam serta pengurusan perkhidmatan bandar secara masa nyata, sekali gus meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada seluruh masyarakat.

Sementara itu, Baderul Amin berkata SPACE ditubuhkan sebagai pusat operasi bersepadu MBSP yang menyokong pengurusan bandar pintar dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta berfungsi sebagai platform utama penyelarasan operasi bandar secara sistematik dan berasaskan teknologi terkini.

Beliau berkata usaha itu telah bermula pada 2014 melalui penubuhan Bilik Kawalan CCTV MBSP yang bertujuan memperkukuh keselamatan awam, pemantauan bandar dan kecekapan perkhidmatan selain seiring pertumbuhan pesat pembangunan dan kepadatan penduduk di Seberang Perai.

"Inisiatif ini juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperluas pemasangan CCTV dengan MBSP telah mengenal pasti kawasan hotspot dan menaik taraf sistem sedia ada menggunakan teknologi pintar termasuk AI.

"Melalui SPACE, pengurusan data bandar dapat dilaksanakan secara bersepadu dalam satu pusat kawalan dan ia menyokong pemantauan serta penguatkuasaan seperti pelanggaran tempat letak kereta, pembuangan sampah haram serta kawalan pergerakan kenderaan berat, di samping menyumbang kepada pengukuhan keselamatan awam melalui pemantauan masa nyata," katanya.

Beliau berkata SPACE turut menyediakan sokongan maklumat kepada agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia, sekali gus meningkatkan keberkesanan pencegahan dan penguatkuasaan jenayah.

Dari segi teknologi dan infrastruktur, beliau berkata SPACE menggunakan rangkaian gentian optik sebagai tulang belakang sistem dan dilengkapi teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) atau pengecaman plat lesen (LPR) bagi memantau pergerakan kenderaan dan setakat ini, 11 kawasan hotspot telah dikenal pasti serta dipantau di bawah sistem kawalan bandar MBSP. – BERNAMA

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1500900/pulau-pinang-sasar-pasang-5000-cctv-menjelang-oktober





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

25-1-2026 04:19 PM GMT+8 , Processed in 0.353947 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list