Sze Fei-Izzuddin melangkah ke final Masters Indonesia
Oleh Khairil S Iswan - Januari 24, 2026 @ 8:36pm

Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke final Masters Indonesia selepas menewaskan gandingan Denmark, Daniel Lundgard-Mads Vestergaard. - Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani berpeluang menamatkan kemarau kejuaraan mereka apabila mengesahkan kemaraan ke pentas final Masters Indonesia, hari ini.
Kejayaan pasangan ranking sembilan dunia itu melengkapkan hari cemerlang buat skuad badminton negara apabila Malaysia bakal mempunyai tiga wakil di final esok.
Dalam aksi separuh akhir di Istora Senayan itu, Sze Fei-Izzuddin mempamerkan dominasi apabila mudah menundukkan gandingan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard.
Bekas pasangan nombor satu dunia itu hanya memerlukan 28 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-9, 21-15.
Kemenangan bergaya itu turut membolehkan Sze Fei-Izzuddin memperbaiki rekod pertemuan menentang lawan sama dengan menjadikan kedudukan kini 3-2 memihak kepada pasangan negara.
Melangkah ke final di Jakarta adalah pencapaian terbaik Sze Fei-Izzuddin bagi musim 2026 setakat ini, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir seawal pusingan kedua pada Terbuka Malaysia dan Terbuka India, baru-baru ini.
Sebagai rekod, kali terakhir mereka melangkah ke perlawanan akhir adalah pada Terbuka Jepun tahun lalu, manakala kali terakhir merasai nikmat juara adalah ketika memenangi kejohanan bertaraf Super 750, Terbuka India pada tahun lalu.
Di pentas final esok, Sze Fei-Izzuddin akan membuat perhitungan menentang pasangan meningkat naik tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin.
Gandingan muda Indonesia itu mara selepas melakar kejutan menewaskan rakan senegara yang lebih berpengalaman, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-19, 21-14 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Terdahulu, kem badminton negara ceria apabila beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah turut mengesahkan tiket ke perlawanan akhir dalam kategori masing-masing.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/01/1500984/sze-fei-izzuddin-melangkah-ke-final-masters-indonesia
|