Kerajaan serius ikhtiar selesai masalah rakyat walaupun tak selalu sempurna - PM Anwar
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Januari 24, 2026 @ 7:26pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat dan mendengar taklimat oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin pada Majlis Pelancaran Galeri Arkeologi Guar Kepah di sini hari ini. - BERNAMA
KEPALA BATAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sentiasa berusaha dan serius mencari ikhtiar meningkatkan kualiti hidup rakyat ke arah lebih baik meskipun mengakui hasilnya bukan sentiasa sempurna.
Perdana Menteri menegaskan, kekuatan ekonomi negara bukan bertujuan membuatkan segelintir pemimpin menjadi kaya atau sekadar mempamerkan projek mega, sebaliknya menjamin kebajikan rakyat secara menyeluruh.
"Sebab itu saya bagi tahu menteri-menteri masih hadapi potongan gaji 20 peratus untuk memberi contoh bahawa tidak semua orang harus mengejar jawatan untuk mengayakan diri dan keluarga.
"Kita cuba lakukan sedaya upaya, kita perbaiki kita takkan sempurna tetapi kita cuba selesaikan masalah.
Dunia mengiktiraf kita, kerana mereka tengok betapa seriusnya kita.
"Bayangkan mana negara yang boleh bantu rakyat miskin seperti apa yang kita lakukan dengan sasaran menoktahkan kemiskinan tegar. (
Setakat) minggu lalu ada beberapa lagi yang tinggal," katanya ketika berucap pada pada Majlis Perasmian Galeri Arkeologi Guar Kepah di sini, hari ini.
Anwar menegur sikap yang cenderung menyalahkan kerajaan berhubung apa sahaja masalah berkaitan rakyat, mengambil contoh isu seorang penduduk di Kepala Batas yang 'terputus' bekalan beras seperti dibangkitkan seorang Ahli Parlimen baru-baru ini.
"Saya dengar di sini (Kepala Batas) ada kata seorang tiada beras.
Kalau seorang tak ada, kita bagi belilah dulu beras takkan tidak boleh berjuang.
"Jangan kita salah guna kebebasan (bersuara) dan kuasa kita ini," katanya.
Mengulas Galeri Arkeologi Guar Kepah, Anwar berkata pembangunan berasaskan warisan dan arkeologi tidak bercanggah agenda pertumbuhan ekonomi negara, malah berpotensi menjadi tarikan baharu dalam bidang penyelidikan, sejarah dan pelancongan jika diurus secara bijak.
Beliau menegaskan kajian arkeologi tidak boleh dilihat secara terasing atau tertumpu kepada satu disiplin semata-mata, sebaliknya perlu disepadukan dengan pelbagai bidang ilmu seperti sains, sejarah, ekologi, pelancongan dan perdagangan.
"Galeri Arkeologi Guar Kepah ini maknanya ia menjadi 'markas' tetapi harus dikembangkan bagaimana kita boleh gerakkannya sebagai pusat ilmu supaya orang melihat apa relevannya menggali khazanah bangsa.
"Seperti ada kontroversi orang kata apa faedah gali hal-hal lampau.
Perdebatan ini juga berlaku di Mesir bila pemerintah ketika itu mahu menggali piramid kerana kita sudah mengenal aqidah dan tauhid.
"Jadi, pembangunan tamadun mesti bersifat menyeluruh.
Jika kita hanya menumpukan satu disiplin, ia akan melahirkan masyarakat yang miskin budaya dan pemikiran.
Galeri ini perlu menjadi pusat ilmu, bukan sekadar ruang pameran," katanya.
Anwar turut berpandangan, galeri itu wajar dibangunkan sebagai pemangkin pembangunan setempat dengan penglibatan usahawan tempatan, sektor pelancongan serta sokongan kerajaan negeri bagi mewujudkan ekosistem ekonomi dan budaya yang mampan.
Anwar mengingatkan bahawa kemajuan fizikal semata-mata tanpa nilai sejarah, seni dan budaya akan menjadikan sesebuah negara 'gersang' daripada sudut peradaban.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1500961/kerajaan-serius-ikhtiar-selesai-masalah-rakyat-walaupun-tak-selalu
|