PERMATANG PAUH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata prestasi ringgit yang berada di kedudukan terbaik di Asia ketika ini mencerminkan keberkesanan dasar tatakelola kerajaan, kestabilan politik serta keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pengukuhan nilai mata wang negara turut didorong usaha berterusan kerajaan memastikan keamanan negara melalui peranan serta kerja keras tentera, polis selain ketegasan kerajaan dalam membanteras rasuah dan pecah amanah.
"Jangan kita ketepikan majoriti besar, 90 peratus lebih polis dan tentera menjalankan tugas dengan terbaik supaya negara ini aman.
"Di rantau kita, Malaysia jika dilihat dari segi ekonomi, ringgit kita prestasi terbaik di Asia. Bukan terbaik dibanding di negara jiran, tetapi di seluruh Asia ringgit kita terbaik.
"Kita kena kerja kuat, jaga negara, mula dengan tatakelola yang baik. Jangan bagi ada duit lebih, 'sapu' masuk dalam poket. Ada duit lebih, ambil komisen.
Ada duit lebih, percayakan anak beranak," katanya ketika berucap pada Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir di sini, hari ini.
Semalam, ringgit dilaporkan melepasi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992 sekali gus menandakan paras paling kukuh mata wang Malaysia dalam tempoh lebih tujuh tahun.
Anwar menegaskan, sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan lain amat penting dalam menjamin kestabilan negara yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi serta keyakinan pelabur.
Beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan diambil tanpa mengira status individu, termasuk golongan berpengaruh dan kaya dilakukan demi memelihara amanah rakyat dan memulihkan keyakinan terhadap institusi negara.
Menurutnya, dalam perolehan pertahanan, kerajaan berpegang kepada prinsip memilih aset yang benar-benar diperlukan negara tanpa campur tangan ejen atau unsur komisen.
"Sebab itu saya tak mahu apa-apa tindakan yang baru-baru ini itu seolah-olah itu memberi gambaran semua angkatan tentera.
Kita perlu tegas.
"Nak beli senjata, jangan pakai komisen. Nak beli senjata, jangan ikut ejen. Mesti pilih apa yang negara ini perlu dan bawa manfaat kepada negara ini, itu kita lakukan," katanya.
Perdana Menteri berkata, dalam soal kebajikan rakyat, kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan jumlah keseluruhan RM15 bilion, selain kenaikan gaji penjawat awam membabitkan tambahan RM18 bilion tahun ini.
Anwar menjelaskan hasil penyasaran subsidi serta usaha membanteras rasuah dan ketirisan membolehkan kerajaan menyalurkan pendapatan negara secara efektif sekali gus dapat meningkatkan peruntukan kepada rakyat termasuk STR, SARA dan gaji penjawat awam.
"Saya tekankan tadi, tiada cukai baru untuk rakyat. Subsidi RON95 dikekalkan untuk rakyat, manakala 85 peratus pengguna domestik tidak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik," katanya.
Anwar mengakui usaha pemulihan ekonomi negara ke arah lebih baik memerlukan masa berikutan keadaan kewangan negara yang diwarisi dari pentadbiran terdahulu termasuk tahap hutang negara yang tinggi, namun beliau menegaskan apa yang dijanjikan tetap akan direalisasikan meskipun mengambil masa dan dilakukan secara bertahap.
"Ia tak mudah.
Tak banyak negara yang sanggup buat macam kita.
Saya minta maaf kalau lambat sikit.
Tapi kita buat minyak turun ambil masa dua tahun setengah, saya kata PTPTN patut percuma, sekarang sudah mula (tapi) lambat sikit.
"Sebab apa lambat? Sebab saya terima negara ini dalam keadaan celaru, rasuah tinggi, duit hilang, hutang banyak RM1.5 trilion jadi sebab itu ambil masa sikit," katanya.