6 tahun Tahun Satu: KPM jamin guru, kemudahan sekolah cukup
M Hifzuddin Ikhsan dan Noorazura Abdul Rahman - Januari 21, 2026 @ 1:57pm

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berucap pada Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah. - Foto NSTP/Wan Nabil Nasir
ALOR STAR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bilangan guru, sekolah dan kemudahan sedia ada mencukupi bagi menampung kemasukan murid Tahun Satu pada usia enam tahun mulai tahun hadapan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya sudah menjalankan kajian terperinci dan mendapati keupayaan tenaga pengajar di sekolah yang dikenal pasti mencukupi bagi melaksanakan program berkenaan.
Pelaksanaannya bersifat pilihan dan tidak diwajibkan kepada ibu bapa selain hanya dilaksanakan di sekolah yang mempunyai kemudahan, prasarana serta sokongan yang bersesuaian untuk menerima murid tambahan.
"KPM telah mengenal pasti sekolah yang bersedia, selain mempunyai pelan pembinaan kelas baharu secara sistem binaan berindustri (IBS) bagi menangani isu kepadatan dengan tempoh pembinaan yang singkat.
"KPM berpengalaman melaksanakan pembinaan IBS dan lebih 100 sekolah padat di seluruh negara telah berjaya ditangani melalui kaedah ini," katanya selepas Program PAKAT Prasekolah di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fadlina berkata, KPM akan menggunakan sistem data dan analisis bagi membolehkan pihaknya menyusun unjuran keperluan guru secara berkesan mengikut keperluan sebenar di sekolah.
Fokus ketika ini adalah menyusun penempatan guru di sekolah terbabit bagi mengisi keperluan khusus termasuk melengkapkan kemahiran guru bagi menyokong keperluan murid Tahun Satu pada usia enam tahun.
Sementara itu, Fadhlina berkata, pendidikan khas turut menjadi fokus utama dalam pelaksanaan kurikulum baharu tahun hadapan yang akan menyokong sepenuhnya keperluan murid berkeperluan khas.
"Kurikulum baharu ini akan turut menyokong pendidikan khas.
Kita memperkenalkan pendekatan baharu iaitu memastikan semua sekolah baru dibina dilengkapi kelas pendidikan khas.
"Isu berkaitan prasarana di sekolah lama pula akan diselesaikan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada penyediaan empat prasarana utama di kelas pendidikan khas, termasuk penambahan guru serta pembantu murid bagi memperkukuh sokongan pembelajaran," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1499493/6-tahun-tahun-satu-kpm-jamin-guru-kemudahan-sekolah-cukup
|