
Unit Penyiasatan & Pendakwaan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching bersama pasukan perundangan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak semasa berada di lobi Kompleks Mahkamah Kuching pada Isnin.
KUCHING: Mahkamah Majistret pada Isnin menjatuhkan hukuman denda RM20,000 terhadap sebuah syarikat menjual vape akibat mempromosi vape di sebuah premis di Kuching pada 6 Oktober 2025.
Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman itu terhadap pengarah syarikat berkenaan yang diwakili pengurus premis selaku orang kena saman (OKS), sebaik dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa mempromosikan bahan merokok melalui poster yang mempunyai tawaran 'Best Value For Money' di dalam premis di bawah Seksyen 9(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9(3) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9(3)(B)(i) akta.
Seksyen berkenaan memperuntukkan denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu semasa prosiding, OKS yang tidak diwakili peguam memohon agar hukuman diringankan atas alasan ia merupakan kesalahan pertama dilakukan oleh pihaknya serta memberi jaminan tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Pegawai Pendakwa Mohd Fairos Ibrahim dari Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching bagaimanapun memaklumkan mahkamah bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta berkenaan bagi mana-mana syarikat atau individu mempromosikan sebarang bahan atau produk merokok.
Ini katanya, termasuk produk pengganti tembakau, sama ada di premis atau melalui mana-mana platform media sosial.
Tegas beliau, perbuatan tersebut boleh menggalakkan masyarakat untuk merokok serta membeli bahan yang boleh digunakan bagi tujuan merokok.
Tambah Mohd Fairos, kesalahan itu merupakan kesalahan tidak boleh dikompaun dan sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon agar hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada OKS.
Ia juga katanya, agar menjadi langkah pencegahan serta peringatan kepada syarikat lain yang terbabit dalam penjualan produk rokok supaya mematuhi undang-undang.
Di Mahkamah Majistret berasingan, sebuah syarikat kedai khas menjual bahan vape mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mempamerkan produk vape yang boleh dilihat dari luar kedai.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Sehubungan itu, pihak Pendakwaan Tazudin Murni dari Seksyen Inspektorat & Perundangan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah memohon suatu tarikh baharu untuk sebutan semula dan mahkamah seterusnya menetapkan 23 Februari 2026.
Sumber : Utusan Borneo
|