
KUCHING: Kejayaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di Sarawak, khususnya di luar bandar dan pedalaman, sangat bergantung kepada pendekatan pelaksanaan yang bersifat realistik dan inklusif.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Zulkiflee Sebli (gambar) berkata, pelaksanaannya juga harus mengambil kira jurang infrastruktur, kemudahan digital, akses pengangkutan serta kekurangan tenaga pengajar yang masih wujud.
Menurutnya murid di pedalaman memerlukan sokongan tambahan dari segi kemudahan fizikal, capaian Internet, bahan pembelajaran serta intervensi akademik agar mereka tidak terus ketinggalan berbanding rakan sebaya di kawasan bandar.
"Secara prinsipnya, KGBS menyokong aspirasi kerajaan untuk membangunkan modal insan yang berdaya saing, berakhlak dan seimbang selari dengan keperluan masa depan negara.
"KGBS menyambut baik pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 sebagai usaha strategik negara untuk memperkukuh kualiti, akses dan kesaksamaan pendidikan dari peringkat awal kanak-kanak sehingga pendidikan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan akhbar sebagai mengulas pelancaran RPN 2026-2035 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Berhubung langkah mewajibkan penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia di semua aliran sekolah, Zulkiflee berkata KGBS berpandangan usaha itu penting bagi memperkukuh jati diri nasional, perpaduan serta kefahaman sejarah negara.
Namun demikian, tegasnya pelaksanaannya perlu disertai dengan sokongan pedagogi yang mencukupi, terutama kepada murid luar bandar yang datang daripada latar bahasa ibunda yang pelbagai.
"Tanpa program pemulihan, latihan guru yang berfokus dan bahan pembelajaran yang sesuai dengan konteks setempat, dasar ini berisiko menambah tekanan akademik kepada murid," ujarnya.
Dalam aspek pendidikan awal kanak-kanak, KGBS katanya menyokong dasar kemasukan prasekolah bermula umur lima tahun mulai 2027.
Bagaimanapun, menurutnya isu kecukupan infrastruktur prasekolah, bilangan guru terlatih, kemudahan fizikal serta akses di kawasan pedalaman perlu diberi perhatian serius.
"KGBS menggesa agar kerajaan mempercepat penambahan pusat prasekolah, latihan tenaga pengajar dan peruntukan kewangan supaya pelaksanaan dasar ini dapat berjalan dengan kualiti yang setara di seluruh Sarawak," tambahnya.
KGBS juga mengambil maklum pengambilalihan sistem Tingkatan Enam dan Matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mulai 2026.
Langkah ini menurut kesatuan itu berpotensi menyelaraskan laluan prauniversiti dengan keperluan institusi pengajian tinggi.
"Namun KGBS menekankan agar peluang pelajar Sarawak, khususnya dari luar bandar, terus dipelihara melalui jaminan kuota adil, bantuan kewangan, kemudahan penginapan, sokongan akademik serta akses institusi yang lebih dekat dengan komuniti setempat," tegasnya.
Zulkiflee berkata secara keseluruhannya, KGBS berharap RPN 2026–2035 tidak hanya dilihat sebagai dokumen dasar, tetapi diterjemahkan melalui pelaksanaan yang berpaksikan realiti lapangan, keperluan murid dan kebajikan guru.
"KGBS bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai rakan strategik bagi memastikan pelaksanaan pelan ini benar-benar memberi manfaat kepada pendidikan di Sarawak.
"Ia juga tidak akan melebarkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar," ujar Zulkiflee.
Sumber : Utusan Borneo
|