RM8 juta diperuntuk setahun untuk sedia dan laksana kemudahan, prasarana projek pembangunan kepada rakyat

(Duduk dari tiga kiri) Dr Abdul Rahman dan Dayang Maimunah serta tetamu lain pada Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Cawangan Limbang pada Ahad lepas.
“ADUN diberi peruntukan RTP sejumlah RM5 juta setiap tahun dan untuk satu penggal peruntukan RTP adalah RM25 juta.”
Datuk Dr Abdul Rahman Ismail Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah
LIMBANG: Sebanyak RM8 juta diperuntuk Kerajaan Sarawak setahun di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk menyediakan dan melaksana kemudahan dan prasarana serta projek pembangunan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang melaksanakan MRP dan RTP.
Katanya, ini menunjukkan komitmen berterusan Sarawak untuk membangunkan kawasan luar bandar di negeri ini termasuk di Limbang.
“ADUN diberi peruntukan RTP sejumlah RM5 juta setiap tahun dan untuk satu penggal peruntukan RTP adalah RM25 juta.
"Kerajaan Sarawak memberikan peruntukan yang begitu banyak kepada ADUN-ADUN iaitu setiap ADUN mempunyai peruntukan tahunan berjumlah RM8 juta, merangkumi RM5 juta RTP dan MRP sebanyak RM3 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Cawangan Limbang di Dewan Kampung Bunga Raya, Limbang pada Ahad lepas.
Turut hadir ialah isteri beliau yang juga Pengerusi PERKIM Cawangan Limbang Datin Dayang Maimunah Awang Mohamad Daud.
Katanya, pelbagai kemudahan turut dilaksanakan di daerah Limbang seperti pembinaan surau, prasarana sukan, dewan serba guna dan kemudahan lain di setiap kampung.
Beliau berkata, peruntukan RTP yang diperkenalkan bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan diteruskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bertujuan membantu wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) membangunkan kawasan luar bandar dan mempercepat usaha kerajaan negeri merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar.
Sumber : Utusan Borneo
|