
ANUAR
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah menyatakan sokongan penuh terhadap titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menegaskan bahawa pembentukan Malaysia adalah berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai satu ikatan penyatuan yang mengiktiraf kedudukan, hak serta kepentingan Sabah dan Sarawak sebagai rakan pengasas Persekutuan.
Ketua Penerangan STAR Sabah, Anuar Ghani Gilong berkata, titah Diraja tersebut membawa mesej jelas bahawa semangat MA63 mesti terus dipelihara demi keharmonian negara.
Katanya, dalam titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke15, Seri Paduka Baginda bertitah bahawa 'semangat MA63 perlu terus dipelihara sebagai asas kepada keharmonian nasional, keadilan wilayah dan kestabilan negara'.
“Seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda bahawa hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam MA63 bukanlah tuntutan yang bersifat memecah-belahkan.
"Sebaliknya merupakan sebahagian daripada perjanjian asas pembentukan Malaysia yang wajib dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pendirian itu selari dengan perjuangan Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, yang sejak sekian lama memperjuangkan pemulihan hak-hak Sabah di bawah MA63 termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri, pemerkasaan autonomi dan penghormatan terhadap kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.
“Perjuangan MA63 yang dibawa oleh Jeffrey adalah berlandaskan Perlembagaan dan semangat Persekutuan, selaras dengan titah Seri Paduka Baginda agar sebarang perbezaan pandangan ditangani secara berhemah dan tidak dijadikan alasan untuk mencetuskan sentimen wilayah,” katanya.
Katanya, STAR Sabah percaya bahawa keutuhan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat hanya dapat dipertahankan melalui sikap saling memahami, menghormati autonomi negeri serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sebagaimana yang ditekankan oleh Seri Paduka Baginda.
Menurutnya, STAR Sabah akan terus komited memperjuangkan hak-hak Sabah berlandaskan MA63 demi keadilan wilayah, kesejahteraan rakyat dan masa depan Persekutuan Malaysia.
Sumber : Utusan Borneo
|