The Next Factor ungguli hari pertama RLIR 2026
Oleh Hamzah Osman - Januari 20, 2026 @ 8:18pm

Antara kapal layar yang bertanding pada perlumbaan Regata Antarabangsa Diraja Langkawi di Kuah, bermula hari ini. – Foto NSTP/Hamzah Osman
LANGKAWI: Status juara bertahan bukan sekadar gelaran apabila pasukan negara, The Next Factor kendalian Rolf Heemskerk, memulakan saingan hari pertama Regata Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2026 dengan penuh bergaya selepas muncul juara kelas Racing, hari ini.
Heemskerk bersama rakan sepasukan dari Kelab Perahu Layar Diraja Selangor (RSYC) mendominasi dua perlumbaan yang berlangsung di perairan Kelab Perahu Layar Diraja Langkawi (RLYC), Kuah sekali gus mengumpul empat mata keseluruhan.
Kapal layar Blitz dari Hong Kong kendalian Nick Burns turut mengumpul empat mata untuk berada di tempat kedua, manakala Alive dari Australia yang dipimpin Duncan Hine menghuni kedudukan ketiga dengan enam mata.
Tiupan angin pagi berkelajuan 8 hingga 10 knot mewujudkan persaingan sengit dalam kalangan peserta, dengan laluan perlumbaan yang panjang serta mencabar menguji ketahanan dan taktikal setiap pasukan.
Dalam saingan kelas IRC 1, kapal layar Char Chan dari Jepun menguasai kedudukan teratas selepas mengumpul dua mata manakala bagi IRC2, wakil negara The Blue Angel unggul dengan tiga mata.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2026/01/1499239/next-factor-ungguli-hari-pertama-rlir-2026
|