Wanita AS disaman pandu lawan arus di Pantai Chenang
Oleh Hamzah Osman - Januari 20, 2026 @ 4:42pm

Foto fail NSTP
LANGKAWI: Seorang pemandu wanita warga Amerika Syarikat disaman kerana memandu melawan arus di jalan baharu di Pantai Chenang di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin, berkata kejadian kira-kira jam 7.23 malam ketika wanita terbabit memandu Perodua Axia.
"Siasatan mendapati pemandu tersalah memasuki laluan ketika menggunakan aplikasi Waze sebagai panduan arah perjalanan.
"Kebetulan anggota trafik berada di kawasan kejadian sebelum mengeluarkan saman terhadap pemandu itu atas kesalahan tidak mematuhi arahan trafik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 52 saat yang memaparkan sebuah kereta dipandu secara bertentangan arah di laluan berkenaan, sekali gus mengundang kebimbangan pengguna jalan raya.
Berdasarkan rakaman itu, pemandu cuba membuat pusingan U selepas menyedari kesilapan memasuki laluan bertentangan.
Polis menasihatkan pengguna jalan raya, khususnya pelancong asing, supaya lebih peka terhadap papan tanda dan keadaan laluan walaupun menggunakan aplikasi navigasi, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/01/1499137/wanita-disaman-pandu-lawan-arus-di-pantai-chenang
|