Jun Hao tarik diri Masters Indonesia
Oleh Helmi Talkah - Januari 20, 2026 @ 4:04pm

Jun Hao menarik diri daripada Masters Indonesia hari ini.
KUALA LUMPUR: Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen, mendedahkan pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Leong Jun Hao, menarik diri daripada Masters Indonesia yang bermula hari ini susulan isu pada bahagian tubuh badannya.
Jurulatih dari Denmark itu menepis spekulasi penarikan diri Jun Hao berpunca daripada kecederaan serius atau demam panas, sebaliknya menjelaskan keputusan berkenaan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan masalah kecil menjadi lebih serius.
Menurut Jonassen, isu berkenaan menjejaskan keupayaan Jun Hao menjalani latihan secara optimum sebelum ke Jakarta, sekali gus menimbulkan risiko sekiranya dipaksa bersaing di kejohanan bertaraf tinggi.
"Selepas menilai keadaannya, kami merasakan lebih baik dia kekal dan memberi tumpuan kepada persiapan kejohanan Eropah.
"Keputusan ini dibuat berdasarkan keadaan fizikalnya dan dipersetujui bersama Jun Hao," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, hari ini.
Jonassen menegaskan penarikan diri pemain ranking ke-30 dunia itu tidak ada kaitan dengan masalah mental atau keletihan, sebaliknya lebih kepada pengurusan keadaan fizikal.
"Kami tidak mahu isu kecil ini berkembang menjadi masalah besar.
Justeru, Jun Hao kini diletakkan dalam program pemulihan bagi mengelakkan pembaziran masa dan mempercepat proses persediaan," katanya sambil memaklumkan tumpuan utama kini adalah persiapan menghadapi siri kejohanan di Eropah bermula hujung bulan depan termasuk Seluruh England.
Sebelum menarik diri, Jun Hao dijadualkan bertemu wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin, pada pusingan pertama Masters Indonesia.
Pada dua kejohanan awal musim ini, Jun Hao tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia dan Terbuka India, termasuk menarik diri ketika menentang pemain Jepun, Yushi Tanaka, selepas dilaporkan mengalami demam panas di New Delhi.
Tanpa kehadiran Jun Hao, Malaysia menyandarkan harapan kepada Justin Hoh dan Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki.
Justin dijadual berdepan wakil China, Wang Zheng Xing, manakala Zii Jia menentang pemain India, HS Prannoy.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2026/01/1499104/jun-hao-tarik-diri-masters-indonesia
|