|
Telah dibentangkan kepada JKKSK Perkara 15A Peringkat Negeri Sarawak bagi Januari tahun ini, kata Fatimah
Fatimah bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus dan yang lain merakam kenangan selepas menyampaikan bantuan BIB dan EFS kepada penerima hari ini.
KUCHING: Sebanyak 183 permohonan bagi status kewarganegaraan di bawah Perkara 15A telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Perkara 15A Peringkat Negeri Sarawak bagi Januari tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 108 permohonan melibatkan kategori anak tidak sah taraf.
Manakala 70 permohonan pula katanya, membabitkan kategori anak jagaan dan lima permohonan lagi adalah bagi kategori anak angkat.
“Jika dilihat daripada bilangan permohonan ini mengikut kategori, majoriti permohonan adalah melibatkan anak tak sah taraf.
“Keadaan ini menjadi masalah apabila ibunya yang melahirkan anak itu adalah bukan warganegara seperti dari negara Filipina, China, Papua New Guinea, Indonesia. “Jadi, kita melihat perkara ini menjadi faktor utama yang menyumbang kepada permohonan tinggi bagi kategori anak tidak sah taraf,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat Bulanan JKKSK Perkara 15A Peringkat Negeri Sarawak Bil. 1/2026 di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, hari ini.
Selain faktor tersebut, Fatimah berkata, sebab lain ialah kes pengangkatan anak yang tidak mengikuti peraturan yang ditetapkan, menyebabkan status anak berkenaan menjadi tidak sah.
“Kes pengangkatan yang tidak sah biasanya berlaku apabila pendaftaran anak tidak dibuat secara formal atau anak yang diangkat bukan warganegara.
“Apabila ibu bapa ingin membuat kad pengenalan anak pada umur 12 tahun, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyemak rekod secara teliti.
“Jika didapati tiada pendaftaran yang sah atau maklumat yang diberikan palsu, sijil lahir asal akan ditarik balik dan permohonan baharu perlu dibuat.
“Dalam kes sedemikian, status kewarganegaraan anak masih belum ditentukan sehingga proses baharu selesai,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa isu itu bukan banyak berpunca daripada pertukaran status, sebaliknya lebih kepada perkahwinan yang tidak didaftarkan secara teratur, terutama melibatkan pasangan bukan warganegara.
“Saya merasakan punca yang lebih besar iaitu apabila pasangan, terutama pasangan wanitanya bukan dari Malaysia, itu akan menjadi masalah.
“Kita selalu ingatkan, kalau nak kahwin dengan pasangan yang bukan warganegara, pastikan perkahwinan itu dibuat dengan teratur,” ujarnya.
Sehubungan itu, Fatimah menasihatkan pasangan yang berkahwin dengan bukan warganegara supaya memastikan perkahwinan didaftarkan dengan betul.
“Sekiranya perkahwinan dilangsungkan di luar negara, ia perlu didaftarkan semula apabila kembali ke Malaysia bagi memastikan anak memperoleh status kewarganegaraan melalui perkahwinan yang sah.
“Kita selalu menegaskan agar perkahwinan, kelahiran dan kematian direkodkan dengan tepat. Kerajaan Malaysia mahu memastikan semua hal berkaitan direkodkan dengan teratur. Ini adalah wajib,” tegasnya.
Untuk rekod, sebanyak 282 jumlah permohonan bagi status kewarganegaraan di bawah Perkara 15A direkodkan bagi tempoh tahun 2024 sehingga Januari 2026 .
Dalam perkembangan lain, program turut menyaksikan simbolik penyerahan Bantuan Ibu Bersalin (BIB) dan Dana Endowmen Sarawak (EFS) kepada anak Sarawak yang layak.
Setakat 31 Disember 2025, sejumlah 17,597 akaun EFS telah diluluskan dan dibuka manakala sebanyak 16,999 jumlah permohonan BIB diluluskan dan pembayaran telah dibuat.
Sumber : Utusan Borneo
|