Belum ada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil terhadap penjual durian yang beroperasi tanpa permit setakat ini

Dr Abdul Rahman ketika ditemui media selepas merasmikan Pelancaran Kalendar Acara 2026 DBKU dan Program Kuching Car Free Morning hari ini.
KUCHING: Belum ada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil terhadap penjual durian yang beroperasi tanpa permit oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) setakat ini, kata Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) itu berkata, DBKU tidak akan menyita durian yang dijual tanpa permit ketika ini, sebaliknya memberi tumpuan untuk mengawal aktiviti penjualan buah-buahan tempatan supaya mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kita belum memikirkan pendekatan menyita kerana pada masa ini kita memberi kemudahan kepada penjual dan pemborong buah-buahan tempatan.
“Namun, kita mahu pastikan mereka mematuhi peraturan supaya tidak menghalang lalu lintas dan sentiasa menjaga kebersihan ketika menjalankan aktiviti jualan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pelancaran Kalendar Acara 2026 DBKU dan Program Kuching Car Free Morning di Padang Merdeka di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman berkata, DBKU akan terus memantau keadaan di lapangan serta menyediakan keperluan permit bagi memastikan aktiviti jualan dapat dilaksanakan secara lebih teratur.
Terdahulu, Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Alan Ling menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) mengkaji pendekatan yang lebih berhemah dan berperikemanusiaan dalam menangani isu penjaja buah-buahan tanpa kebenaran, khususnya ketika musim buah-buahan yang sedang berlangsung seperti musim durian ketika ini.
Beliau berkata, meskipun peraturan yang ditetapkan oleh PBT perlu dipatuhi, tindakan menyita buah-buahan penjaja telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang ramai.
Ling mengulas insiden rampasan durian oleh pihak penguat kuasa di kawasan parkir dan tepi jalan baru-baru ini di Miri telah mencetuskan pelbagai reaksi awam.
Sumber : Utusan Borneo
|