
KUCHING: Seorang wanita tempatan berusia 40 tahun mengalami kerugian sebanyak RM339,486 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan melalui media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya melalui Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah menerima laporan berhubung kes penipuan pelaburan saham dalam talian melibatkan platform dikenali sebagai Navis Wealth.
Menurut beliau, kejadian bermula pada 3 Disember 2025 apabila mangsa yang berada di rumah tertarik dengan tawaran pelaburan saham tersebut selepas melihat iklan di Facebook.
“Mangsa kemudian menerima satu pautan untuk dimuat turun aplikasi berkaitan dan seterusnya dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau berkata, mangsa yang percaya dengan skim tersebut telah membuat bayaran secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank syarikat berbeza melibatkan sebanyak 22 transaksi pemindahan wang secara dalam talian.
“Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan pelaburan yang dipaparkan dalam akaun aplikasi berkenaan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong penyerahan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan di media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.
Orang awam juga disaran menyemak status entiti pelaburan melalui laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan segera menghubungi talian hotline Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di nombor 997 dalam tempoh 24 jam sekiranya menyedari menjadi mangsa penipuan.
Sumber : Utusan Borneo
|