
KUCHING: Majlis Media Malaysia (MMM) menggesa pihak berkuasa supaya mengambil pendekatan berhemah dan adil dalam menangani kes melibatkan seorang wartawan, dengan mengambil kira implikasinya terhadap kebebasan kewartawanan dan kebebasan media di negara ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, MMM mengambil maklum bahawa wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan meletak jawatan bagi bertanggungjawab terhadap tindakannya serta menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh dalam siasatan polis yang sedang dijalankan.
Menurut MMM, dalam konteks tersebut, penahanan dan penangkapan ke atas wartawan berkenaan dilihat sebagai tidak perlu dan sebaliknya boleh ditafsirkan sebagai bersifat menghukum.
“Kes ini menimbulkan persoalan penting berkaitan risiko yang dihadapi pengamal media, khususnya sama ada seorang wartawan boleh dianggap menghasut atau mengganggu ketenteraman awam hanya dengan mengemukakan soalan dalam sebuah wacana awam.
“Kejadian seperti ini mendedahkan risiko kerjaya dan undang-undang yang dihadapi oleh wartawan di Malaysia, termasuklah kemungkinan disiasat, ditahan, dan pelbagai bentuk hukuman lain, dalam melunaskan tanggungjawab kewartawanannya,” menurut kenyataan.
MMM berkata, situasi sedemikian mendedahkan wartawan kepada risiko kerjaya dan perundangan, termasuk kemungkinan disiasat, ditahan serta dikenakan tindakan lain dalam melaksanakan tanggungjawab kewartawanan mereka.
Menurutnya, risiko berkenaan bukan sahaja boleh memberi tekanan psikologi dan profesional yang serius, malah berpotensi menjejaskan kebolehan wartawan untuk menjalankan tugas secara bebas dan selamat.
MMM turut menyatakan kebimbangan bahawa tindakan keras terhadap wartawan boleh mewujudkan kesan penegahan (chilling effect) terhadap industri media dan perbincangan awam, selain memberi gambaran yang kurang baik terhadap komitmen kerajaan dalam mempertahankan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.
Sehubungan itu, MMM menyeru supaya Rex Tan dibebaskan segera serta menggesa pihak polis dan kerajaan agar tidak tergesa-gesa dalam mengambil tindakan, sebaliknya mengamalkan pendekatan yang lebih bersesuaian dan adil.
“Sebarang kebimbangan terhadap amalan kewartawanan wajar ditangani melalui saluran yang profesional dan konstruktif tanpa menjejaskan keselamatan pengamal media, kebebasan akhbar serta peranan kewartawanan dalam sebuah masyarakat demokratik,” menurut kenyataan itu.
Sumber : Utusan Borneo
|