Georgetown: Lima rumah kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran di Lebuh Presgrave di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, beberapa penghuni di rumah berkenaan berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari rumah mereka terbakar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 9.44 malam.
Katanya, penugasan itu membabitkan seramai 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lebuh Pantai termasuk bantuan BBP Jalan Perak dan BBP Bagan Jermal serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
"Sebaik tiba di lokasi didapati kebakaran membabitkan lima rumah kedai dua tingkat jenis separa kekal kelas B.
"Pasukan penyelamat mengambil masa kurang 20 minit bagi mengawal api dari merebak," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut, John Sagun berkata, anggaran peratusan kemusnahan akibat kebakaran itu membabitkan sebanyak 80 peratus.
Katanya, kejadian itu tidak membabitkan mangsa, manakala punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memadam kebakaran rumah kedai dua tingkat di Lebuh Presgrave di sini. FOTO IHSAN JBPM
"Empat daripadanya dihuni seramai 11 orang manakala sebuah lagi adalah premis simpanan perkakasan ('hardware')
"Pasukan bomba juga berjaya menyelamatkan seekor kucing milik penghuni yang terperangkap dalam kebakaran itu," katanya. Operasi ditamatkan pada jam 1.53 pagi tadi.
Sementara itu penghuni, Ooi Choon Hock, 67, berkata, ketika kejadian dia baharu selesai mencuci pakaian sebelum mendapati api sudah marak di dalam premis ketika keluar dari bilik mandi.
"Saya baru lepas cuci baju, keluar dari bilik mandi dan nampak api. Saya cuba nak ambil duit dan lari tapi tak sempat sebab api cepat marak.
"Memang tak dapat buat apa-apa, hanya sempat selamatkan nyawa," katanya yang tinggal sementara bersama saudaranya di Jalan Macalister.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng berkata, pihaknya sudah menyalur bantuan pakaian kepada seramai lapan daripada itu penghuni memandangkan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang.
"Kesemua mereka perlu buat laporan polis berhubung kejadian dan selepas itu kita akan bantu bagi membuat permohonan bantuan bencana.
"Saya juga sudah minta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi sediakan barangan asas kepada mereka.
"Difahamkan, terdapat penghuni yang dibawa pulang ke rumah saudara mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.