|
|
BANGSAR: Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 diyakini mampu memberi kesan besar kepada pelajar, khususnya dalam merapatkan jurang pendidikan yang wujud di peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia selari dengan aspirasi utama RPN untuk mengurangkan jurang dalam pelbagai aspek pendidikan, termasuk prasarana, penguasaan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik), teknologi, infrastruktur serta akses internet, yang selama ini menjadi kekangan kepada sebahagian pelajar.
“Kita percaya, apabila kesenjangan ini dapat dirapatkan, kualiti pendidikan akan dapat ditingkatkan. Isunya adalah soal kesamarataan dan peluang yang adil untuk semua anak-anak kita.
“Jika ada kesenjangan, kita rapatkan, maka kualiti itu akan terus kita pertingkatkan. Jadi pastinya ada kesan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Hot FM, di sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun negara sudah 60 tahun merdeka, kadar penglibatan pelajar dalam STEM masih belum mencapai sasaran 60 peratus.
Namun, RPN membuka ruang untuk memperbaiki keadaan itu melalui usaha mengurangkan jurang sedia ada.
Begitu juga katanya, isu ketidakadilan akses kepada internet yang sering membelenggu pelajar, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, turut diberi perhatian dalam RPN.
Dalam masa sama, aspek penguasaan bahasa turut menjadi antara fokus utama, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, di samping bahasa lain seperti Bahasa Arab, Mandarin dan Tamil.
Beliau menambah, komitmen berterusan kerajaan dalam menangani isu sekolah daif, sekolah padat serta keperluan membaik pulih kemudahan pendidikan turut menjadi sebahagian daripada fokus pelaksanaan RPN.
“Jadi, ini semua antara perkara-perkara yang kita lihat dalam konteks apa yang memberi kesan terus kepada mereka.
“Dan yang paling penting, kita lihat bahawa rancangan ini adalah daripada rakyat untuk rakyat. Jadi penting untuk semua komuniti, ibu bapa, guru, pelajar dan semua pihak berkepentingan bersama dalam rancangan ini untuk terus mengangkat martabat pendidikan negara,” tambahnya.
RPN 2026-2035 akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok (20 Januari 2026), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Ia merupakan rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
Sumber: Buletin TV3 |
|