Verstappen tak sabar harungi musim 2026
AFP - Januari 16, 2026 @ 5:24pm

Pelumba Red Bull Racing bergambar bersama jentera bagi musim baharu 2026. Foto: AFP
DETROIT: Juara dunia Formula Satu (F1) empat kali, Max Verstappen mengakui tidak sabar untuk menguji jentera baharu Red Bull bagi musim 2026 yang bakal menyaksikan perubahan besar dalam landskap sukan itu.
Red Bull memperkenalkan corak rekaan baharu jentera mereka di hadapan ratusan tetamu di sini, kurang dua bulan sebelum tirai musim dibuka di Melbourne dari 6 hingga 8 Mac ini.
Musim 2026 bakal menjadi titik perubahan utama apabila peraturan baharu diperkenalkan, termasuk perubahan aerodinamik bagi menjadikan kereta lebih ringan dan kecil selain spesifikasi enjin yang memberi penekanan lebih besar kepada kuasa elektrik dalam unit hibrid.
"Banyak perkara masih belum diketahui. Perubahan pada enjin dan kereta sangat besar.
Pada awalnya saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri ketika sesi ujian. Motivasi saya sangat tinggi.
"Seperti biasa, ia mengambil sedikit masa untuk benar-benar serasi.
Kita perlu faham di mana prestasi maksimum boleh diperoleh dan berasa selesa dengan kereta, termasuk enjin baharu," katanya.
Red Bull sebelum ini menggunakan enjin Honda, namun membuat keputusan berani pada 2023 untuk membangunkan enjin sendiri bagi musim 2026 menerusi kerjasama dengan gergasi automotif Ford, yang kembali ke F1 selepas 22 tahun meninggalkan sukan itu.
Dominasi Verstappen selama empat musim berturut-turut berakhir pada 2025 apabila pelumba McLaren, Lando Norris, muncul juara dunia.
Namun, Verstappen tetap mempamerkan kebangkitan luar biasa meskipun berdepan jentera yang kurang kompetitif, memenangi lapan perlumbaan, lebih banyak berbanding Norris atau rakan sepasukannya, Oscar Piastri.
Bagi musim ini, Verstappen akan digandingkan dengan pelumba Perancis, Isack Hadjar yang dinaikkan pangkat selaku pemandu kedua Red Bull selepas musim sulung cemerlang bersama Racing Bulls.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2026/01/1497646/verstappen-tak-sabar-harungi-musim-2026
|