Pontian: "Tidak sampai setengah jam selepas status penjejak lokasi langsung (live location) kawasan berhampiran Surat Thani, Thailand dikongsikan, saya menerima panggilan memaklumkan suami terbabit dalam nahas jalan raya," kata Siti Fatimah Md Desah, 39.
Siti Fatimah ialah isteri kepada Izzat Izzuddin On, 39, yang maut dalam kemalangan di daerah Chaiya, Thailand, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi, Izzat Izzuddin meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan pikap Toyota.
Siti Fatimah yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta di Pekan Nanas berkata, suaminya menghantar penjejak lokasi berkenaan sebelum memulakan perjalanan pulang ke Malaysia selepas melakukan tunggangan solo sejak seminggu lalu.
"Suami juga sempat berkongsi foto sarapan kira-kira jam 9 pagi sebelum menghantar status penjejak lokasi langsung kepada saya.
"Namun, tidak lama selepas itu, ejen insurans menghubungi saya memaklumkan suami terbabit dalam kemalangan dan meminta saya ke Thailand.
"Saya menaiki penerbangan dari Senai pada sebelah petang dan tiba di Hatyai pada tengah malam," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Semerah, di sini, hari ini.
Ibu kepada dua anak lelaki, Muhammad Danie, 6, dan Muhammad Daniel, 4, itu berkata, jenazah arwah dituntut selepas selesai bedah siasat di Hospital Chaiya sebelum dibawa ke sempadan Malaysia–Thailand di Bukit Kayu Hitam pada jam 11 malam.
Katanya, jenazah kemudian dibawa ke Masjid Sungai Petani, Kedah, untuk urusan kafan sebelum tiba di Pontian kira-kira jam 2.30 pagi.
"Syukur urusan membawa pulang jenazah dipermudahkan dengan bantuan pelbagai pihak.
"Arwah bekerja sebagai penyelia di Singapura dan gemar menunggang motosikal sama ada secara solo atau berkumpulan," katanya.
Sementara itu, berdasarkan maklumat balai polis Chaiya, kemalangan berlaku apabila pemandu trak pikap yang dipercayai penduduk tempatan membuat pusingan U sebelum melanggar motosikal yang ditunggangi Izzat Izzuddin.
Akibat pelanggaran itu, Izzat Izzuddin meninggal dunia di Hospital Chaiya.
Pemandu trak pikap terbabit dilaporkan cuba melarikan diri dari tempat kejadian, namun berjaya diberkas polis hasil maklumat penduduk setempat.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Semerah, Pontian, hari ini.
|