
BANTUAN: James menyempurnakan penyerahan cek cura Bantuan Awal Persekolahan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi tahun 2026 di sini.
KOTA KINABALU: Kerajaan MADANI memperuntukkan RM76.29 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada Negeri Sabah bagi tahun 2026, sekali gus memberi manfaat kepada 508,631 murid warganegara di 1,298 sekolah seluruh negeri.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, penyaluran bantuan itu mencerminkan keutamaan kerajaan dalam memperkukuh sektor pendidikan sebagai asas pembentukan generasi masa hadapan yang berdaya saing dan berilmu.
Menurutnya, bantuan berkenaan membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa khususnya pada awal sesi persekolahan, selain memberi suntikan motivasi kepada murid untuk terus fokus dan cemerlang dalam pembelajaran.
“Bantuan Awal Persekolahan ini amat bermakna kepada ibu bapa dan murid, terutama dalam menyediakan keperluan asas persekolahan. Ia juga menjadi dorongan kepada murid untuk memberi tumpuan penuh terhadap pelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi tahun 2026 di sini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin serta Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Pendaftaran Murid, Kementerian Pendidikan Intan Suzana Abdul Rahman @ Abdullah.
James berkata, BAP diperkenalkan sejak 2012 sebagai bantuan tunai sekali bayar dan kadar bantuan dinaikkan kepada RM150 bagi setiap murid bermula 2023 selain diberikan secara sejagat tanpa mengira latar belakang pendapatan keluarga.
Katanya, bagi tahun ini, inisiatif itu diteruskan buat tahun ke-14 dengan peruntukan keseluruhan RM794.25 juta di peringkat nasional dan agihan kepada sekolah bermula 8 Januari lalu.
Di Sabah, peruntukan RM76.29 juta disalurkan kepada sekolah melalui 24 Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negeri bagi memastikan pengagihan bantuan dilaksanakan secara menyeluruh, teratur dan berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta semua Pejabat Pendidikan Daerah dengan komitmen berterusan memastikan proses pengagihan BAP berjalan lancar serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, James menyeru ibu bapa dan murid supaya memanfaatkan bantuan berkenaan sebaik mungkin sebagai dorongan untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
“Kejayaan anak-anak di peringkat sekolah akan membuka laluan ke pendidikan tinggi dan seterusnya melahirkan modal insan berkualiti untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau juga menegaskan larangan sebarang potongan atau kutipan bayaran daripada wang Bantuan Awal Persekolahan dan mengingatkan semua pengetua serta guru besar supaya mematuhi sepenuhnya arahan berkenaan.
Katanya, kerajaan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi melahirkan Generasi MADANI yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi melalui sistem pendidikan yang inklusif, mampan dan berkesan.
Sumber : Utusan Borneo
|