
Kabilan (kanan) berswafoto bersama Sivanesan ketika dalam penerbangan pulang ke Kuching semalam.
KUCHING: Petinju muaythai profesional Kabilan Jelevan Thiagarajan bersetuju untuk membantu Skuad Elit Silambam Sarawak sebagai sebahagian daripada persiapan pasukan itu menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII di Selangor pada Ogos depan.
Setiausaha Persatuan Silambam Sarawak (SSA) Sivanesan Lingam berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh tahap kesiapsiagaan mental dan fizikal atlet negeri menjelang temasya dwitahunan itu.
“Kami amat berterima kasih kerana Kabilan bersetuju untuk berkongsi pengalaman bersama skuad elit kami.
“Latar belakang beliau dalam silambam serta muaythai profesional memberikan perspektif unik yang amat relevan dengan cabaran yang bakal dihadapi atlet kami di Sukma,” katanya kepada The Borneo Post.
Kabilan, nama yang tidak asing dalam arena sukan tempur Sarawak, memulakan perjalanan seni mempertahankan dirinya dalam silambam pada 2012 sebelum mewakili Sarawak pada SUKMA 2013 sebelum beralih ke kerjaya muaythai profesional.
Menurut Sivanesan, pendedahan berganda tersebut menjadikan bimbingan Kabilan amat bernilai khususnya kepada atlet yang bersaing dalam disiplin berasaskan senjata dan berintensiti tinggi.
“Silambam bukan sekadar kemahiran fizikal, ia sebuah kehadiran senjata mengubah sepenuhnya psikologi pertarungan.
“Satu kesilapan kecil boleh menentukan keputusan perlawanan justeru kawalan mental dan keupayaan membuat keputusan amat kritikal,” katanya yang juga pengurus pasukan silambam Sarawak.
Sukan tempur berasaskan senjata diketahui memberi tekanan kognitif yang tinggi kepada atlet, katanya.
Walaupun dilengkapi peralatan perlindungan katanya, otak tetap mentafsir ancaman senjata secara berbeza berbanding serangan tanpa senjata, sekali gus meningkatkan tahap kebimbangan dan memaksa atlet mengawal naluri pertahanan semula jadi mereka.
Selain itu katanya, sukan ini menuntut keupayaan penyesuaian pantas apabila atlet perlu bersedia mengubah atau menghentikan pergerakan secara tiba-tiba sebagai reaksi terhadap lawan.
Sivanesan berkata, pertandingan silambam lazimnya berlangsung antara sembilan hingga 11 jam dengan tempoh menunggu yang panjang antara perlawanan sekali gus menambah keletihan mental atlet.
“Atlet kami perlu belajar untuk kekal tenang dan fokus sepanjang hari, walaupun ketika tidak bertanding. Di sinilah pengalaman Kabilan sebagai petarung profesional amat bernilai,” katanya.
Pendedahan Kabilan dalam muaythai menuntut ketenangan di bawah tekanan ekstrem, dijangka membantu atlet silambam Sarawak membina keyakinan serta bertarung dengan lebih mantap.
“Kami percaya sesi perkongsian beliau akan membantu atlet kami menghadapi perlawanan dengan minda yang lebih jelas dan kawalan emosi yang lebih baik," katanya dan menambah ia bahagian penting dalam persiapan menghadapi SUKMA XXII.
Sumber : Utusan Borneo
|