
MIRI: Setiausaha Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Alan Ling (gambar), menyarankan agar pihak berkuasa tempatan mengkaji pendekatan yang lebih berhemah dan berperikemanusiaan dalam menangani isu penjaja buah-buahan tanpa kebenaran, khususnya ketika musim buah-buahan yang sedang berlangsung seperti musim durian ketika ini.
Beliau berkata, meskipun peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan perlu dipatuhi, tindakan menyita buah-buahan penjaja telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang ramai.
Ling mengulas insiden rampasan durian oleh pihak penguat kuasa di kawasan parkir dan tepi jalan baru-baru ini telah mencetuskan pelbagai reaksi awam.
Menurut Ling, musim buah-buahan merupakan tempoh penting bagi penjaja kecil untuk mencari rezeki dan menampung pendapatan harian mereka.
Justeru, beliau berharap agar satu jalan penyelesaian yang lebih praktikal dan berkesan dapat dipertimbangkan, selain hanya bergantung kepada tindakan sitaan.
“Walaupun penguatkuasaan dijalankan, situasi seperti ini akan terus berulang, terutamanya di kawasan tumpuan ramai. Orang ramai juga sudah mengetahui lokasi-lokasi tertentu yang lazim menjadi tempat jualan buah-buahan setiap kali musim tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa tindakan sitaan dan kompaun semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah secara menyeluruh, malah disifatkan sebagai tidak berhati perut dan kurang bersimpati terhadap nasib penjaja kecil yang hanya berniaga secara bermusim.
Sehubungan itu, Ling mencadangkan pelaksanaan pendekatan 'in situ settlement,' termasuk pengeluaran permit sementara kepada penjaja serta penetapan lokasi-lokasi khas bagi aktiviti penjualan buah-buahan.
Pada masa sama, penjaja perlu diwajibkan menjaga aspek kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan orang awam di kawasan jualan, selain mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan suasana yang selamat dan teratur demi kepentingan semua pihak.
Ling yang juga Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak berkata, cadangan permit sementara ini bukan sahaja dapat mengurus penjaja secara lebih sistematik, malah berpotensi menjana pendapatan kepada pihak majlis melalui bayaran permit, sekali gus mewujudkan situasi menang-menang.
“Cadangan ini dapat memberi peluang kepada penduduk, khususnya dari luar bandar, yang datang ke bandar Miri untuk mencari pendapatan melalui penjualan buah-buahan bermusim. Mereka berdepan cuaca tidak menentu, kos pengangkutan yang tinggi serta tekanan hidup yang semakin berat. Keuntungan yang diperoleh pula tidaklah besar, sekadar untuk menyara keluarga,” katanya.
Sebagai kerajaan tempatan yang prihatin, tambah beliau, pendekatan yang membenarkan penjaja mencari rezeki harian secara terkawal wajar dipertimbangkan.
Beliau turut merayu agar Majlis Bandaraya Miri (MBM) dapat lebih bertimbang rasa terhadap nasib penjaja buah-buahan musim ini.
Difahamkan, sekiranya denda tidak dibayar, buah-buahan yang disita akan dilupuskan, dan perkara ini dianggap sebagai satu pembaziran hasil tanaman yang seharusnya diminimumkan.
Sumber : Utusan Borneo
|