
Abang Johari mengadakan lawatan kerja ke projek SPK Kampung Gedong, yang telah siap. Turut kelihatan Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (depan, tiga kiri) serta yang lain. - Gambar Penerangan
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkenalkan projek perumahan perintis berteknologi hijau di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang dilengkapi panel solar sebagai usaha mengurangkan kos sara hidup selain mampu milik.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek perintis yang sedang dibangunkan di Gedong itu menggunakan kaedah pembinaan baharu serta teknologi moden, termasuk sistem penjanaan tenaga elektrik melalui panel solar yang dipasang di bumbung rumah.
“Tenaga yang dijana melalui panel solar tersebut akan disalurkan kepada Sarawak Energy Berhad (SEB), dimasukkan ke dalam grid utama dan seterusnya dibekalkan semula kepada rumah berkenaan.
“Kos pengeluaran elektrik yang dijana melalui panel solar ini akan ditolak daripada jumlah bil elektrik yang digunakan oleh pemilik rumah.
“Sebagai contoh, sekiranya tenaga yang dijana melalui solar bernilai RM180 dan jumlah bil elektrik bulanan ialah RM250, maka pemilik rumah hanya perlu membayar RM70 sahaja iaitu RM250 ditolak RM180, ini bermakna terdapat penjimatan kepada pengguna,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke SPK Kampung Gedong di Gedong, hari ini.
Menurut Abang Johari untuk jangka panjang, sistem itu akan memberikan penjimatan berterusan kepada pemilik rumah.
Beliau berkata, pada peringkat awal terdapat kos pelaburan bagi pemasangan panel solar di atas bumbung rumah yang dianggarkan berjumlah sekitar RM30,000. “Kerajaan Sarawak akan memberikan subsidi sebanyak RM15,000 untuk pemasangan berkenaan.
“Ini bermakna harga rumah asal RM150,000 akan ditambah RM15,000 bagi pemasangan panel solar, menjadikan harga keseluruhan RM165,000.
“Tanah serta infrastruktur asas disediakan sepenuhnya oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Pembeli hanya perlu membeli rumah tersebut dan harga ini jauh lebih rendah berbanding harga rumah di tempat lain yang boleh mencecah RM350,000,” katanya.

Abang Johari meninjau replika perumahan SPK Kampung Gedong yang dibangunkan oleh LCDA. Turut kelihatan Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (tiga kiri). - Gambar Penerangan
Abang Johari memberitahu, bagaimanapun untuk projek sedemikian nanti, pembeli diberikan pilihan sama ada mahu memasang panel solar atau tidak.
“Kita memberi pilihan untuk projek-projek lain sama ada mereka mahu memasang panel solar atau tidak kerana ia terpulang kepada pembeli.
“Tetapi untuk di projek di Gedong ini, saya telah memberi 50 peratus atau 25 unit daripada rumah menggunakan panel solar, sementara baki (25 unit) pembeli boleh memilih memasang atau tidak,” ujarnya.
Katanya, projek SPK di Gedong merupakan projek perintis kerajaan sebelum diperluaskan ke seluruh Sarawak.
Setakat ini, sebanyak 50 unit perumahan dirancang sebagai permulaan dengan peruntukan RM22 juta di bawah Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).
Beliau turut memuji prestasi LCDA yang mencatatkan penarafan tinggi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebanyak 92.96 peratus atau A+ bagi pelaksanaan projek berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo
|