
Parum (duduk tiga kiri) dan Matzinan serta tetamu lain pada Majlis Permuafakatan dan Pelancaran UBDK 2026 SMK Agama Limbang semalam.
LIMBANG: Hentikan buli dan gangguan seksual antara yang ditekankan pada Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang di sini, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot, turut diadakan Majlis Pelancaran Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBDK) 2026 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Limbang di Dewan Utama As-Syafie sekolah itu.
Parum berkata, selain ceramah mengenai buli dan gangguan sosial yang dikendalikan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Limbang, isu yang turut diberi tumpuan adalah pendidikan dan keselamatan jalan raya oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSTP) serta topik bahaya dan penyalahgunaan narkotik oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
“(Ceramah) Pendidikan dan Keselamatan Jalan Raya (JSPT), Bahaya serta Penyalahgunaan Narkotik (JSJN) serta Kempen Hentikan Buli dan Gangguan Seksual (JSJ) diadakan sebagai pendekatan pencegahan holistik terhadap gejala sosial dalam kalangan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hadir sama ialah Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Limbang Matzinan Wahit, Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Peter Jumat dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Agama Limbang Annuar Naim.
Seramai 374 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam turut hadir pada majlis berkenaan.
Sumber : Utusan Borneo
|