
KUCHING: Proses bedah siasat ke atas sepasang suami isteri yang ditemui meninggal dunia dengan kesan kecederaan serius di sebuah rumah di Taman Mutiara, Jalan Brayun, Sri Aman dijalankan mulai jam 9.30 pagi tadi.
Jasad kedua-dua mangsa yang masing-masing berumur 45 dan 44 tahun sebelum itu dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi tujuan bedah siasat dan seterusnya dibenarkan dituntut oleh pihak keluarga.
Difahamkan, jasad kedua-dua mangsa dibawa pulang ke kediaman mereka di Sri Aman pada jam 2 petang.
Semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menerima makluman daripada orang awam pada jam lebih kurang 6.55 pagi mengenai penemuan sepasang suami isteri yang tidak sedarkan diri di rumah berkenaan.
Hasil pemeriksaan awal oleh polis dan pegawai perubatan dari Hospital Sri Aman mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, manakala motif serta punca kejadian masih dalam siasatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes ASP Kalang di talian 019-331 7785, Pusat Kawalan Daerah IPD Sri Aman atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sumber : Utusan Borneo
|