
KUCHING: Majlis Media Malaysia (MMM) menggesa semua pihak supaya mengamalkan sikap berhemah dan bertenang berhubung isu soalan diajukan oleh wartawan Free Malaysia Today (FMT) pada satu forum yang didakwa berunsur perkauman.
Majlis itu dalam satu kenyataan berkata, mengemukakan soalan kepada pakar tokoh awam dan pihak berkepentingan dalam ruang awam adalah amalan kewartawanan yang sah dan wajar dihormati.
“Sebarang kebimbangan terhadap amalan kewartawanan wajar ditangani melalui saluran yang profesional, seimbang dan membina, dan bukannya melalui kecaman terbuka atau tindakan menghukum yang disasarkan kepada individu,” katanya, hari ini.
Sebagai badan berkanun bebas yang memelihara piawaian media, MMM turut menyatakan kesediaannya untuk memudah cara dialog atau pengantaraan antara pihak terlibat, bagi memastikan hak dan keselamatan wartawan terus terpelihara.
Ia turut mengiktiraf langkah proaktif FMT yang mengeluarkan permohonan maaf terbuka dan penjelasan susulan hasil semakan dalaman berhubung isu melibatkan salah seorang wartawannya.
Majlis turut menegaskan bahawa hak dan keselamatan wartawan mesti dihormati dengan sebarang pendedahan maklumat peribadi (doxxing), gangguan, ugutan dan ancaman terhadap wartawan adalah tidak boleh diterima sama sekali.
“Tindakan sebegitu bukan sahaja membahayakan individu, malah menjejaskan peranan asas kewartawanan dalam masyarakat demokratik.
“Tindakan ini meletakkan pengamal media dalam risiko serius, mencabuli privasi, keselamatan dan hak asasi mereka.
“Tiada wartawan seharusnya terdedah kepada ancaman atau kecederaan peribadi, tanpa mengira perbezaan pandangan terhadap laporan mereka,” menurut kenyataan MMM.
MMM menegaskan bahawa perlindungan terhadap wartawan adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya kepada individu wartawan semata-mata.
“Bilik berita dan organisasi media juga perlu menyediakan latihan, bimbingan editorial dan persekitaran kerja yang menyokong kewartawanan bertanggungjawab, tanpa menimbulkan ketakutan atau penapisan kendiri,” katanya.
Sumber : Utusan Borneo
|