
Kakitangan Tabung Darah Hospital Miri menghubungi penderma darah yang layak bagi menyumbangkaan darah dengan segera bagi menyelamatkan nyawa. - Gambar Facebook Tabung Darah Hospital Miri
MIRI: Tabung Darah Hospital Miri (TDHM) menegaskan panggilan telefon baru-baru ini yang meminta orang ramai menderma darah adalah sah dan bukannya penipuan.
Kenyataan TDHM di laman Facebook rasminya menjelaskan bahawa panggilan daripada nombor 085-460600 atau 085-329200 (sambungan 533/536) merupakan sebahagian daripada usaha hospital untuk meningkatkan bekalan darah minggu ini.
“Sekiranya anda menerima panggilan telefon daripada nombor yang dinyatakan tersebut bermula pagi ini, ia adalah panggilan sah dan bukan penipuan.
“Panggilan tersebut dilakukan sebagai sebahagian daripada inisiatif kami untuk meningkatkan stok bekalan darah di hospital pada minggu ini,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, TDHM menjemput penderma yang layak iaitu mereka yang telah mencukupi tempoh pendermaan, untuk tampil menderma darah segera.
Penderma boleh hadir ke pusat derma hospital pada Isnin hingga Khamis, jam 8 pagi hingga 12.15 tengah hari dan 2 petang hingga 4.15 petang manakala pada Jumaat waktu operasi adalah jam 8 pagi hingga 11.15 pagi dan 2.15 petang hingga 4.15 petang.
Bagi Sabtu dan Ahad, penderma boleh merujuk jadual derma darah bergerak yang dianjurkan oleh hospital.
“Hospital menyasarkan 15 beg darah sehari untuk mengekalkan paras stok yang selamat dan memastikan bekalan mencukupi bagi pesakit yang memerlukan rawatan segera.
“Orang ramai yang layak dijemput tampil menderma darah dan membantu menyelamatkan nyawa.
"Setiap derma amat berharga,” menurut kenyataan itu.
Sumber : Utusan Borneo
|