Edited by Vellfire at 16-1-2026 08:20 AM

PENGHARGAAN: Lo menerima cenderakenangan daripada Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, Datuk Mohd Ajib Ismail.
HASRAT menjadikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung Tawau sebagai perintis sekolah agama berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) di Sabah kini semakin hampir direalisasikan apabila satu lawatan berimpak tinggi diadakan ke beberapa institusi pendidikan dan agensi berkaitan di Semenanjung Malaysia.
Lawatan yang diketuai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, itu menjadi manifestasi kesungguhan beliau memastikan pembinaan SAN Apas Balung Tawau benar-benar berteraskan teknologi terkini, sekali gus menepati keperluan pendidikan masa depan.
Menurut Lo, SAN Apas Balung Tawau bakal menjadi sekolah agama pertama di Malaysia yang menggunakan sistem pengajaran berasaskan AI secara menyeluruh, merangkumi kaedah pengajaran dan pembelajaran, pemantauan prestasi pelajar serta pengurusan disiplin.
“Sejak saya menjadi Ahli Parlimen Tawau, masih ramai keliru dengan definisi AI. Di SAN Apas Balung Tawau nanti, AI bukan sekadar gimik, tetapi digunakan sepenuhnya dalam ekosistem pendidikan,” katanya.
Beliau memaklumkan pembinaan sekolah rendah SAN Apas Balung Tawau dijadual siap sepenuhnya pada Februari 2026, sebelum diperluaskan kepada pembinaan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Apas Balung Tawau dan seterusnya Universiti Islam di kawasan sama.

LAWATAN: Lo menandatangani buku pelawat ketika melawat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).
Lo berkata, pendekatan AI dalam sekolah agama itu dilihat penting bagi memastikan pelajar aliran agama turut menguasai teknologi dan kemahiran masa depan, sekali gus memberi kelebihan apabila melangkah ke pasaran pekerjaan.
“Kita mahu pelajar agama ini menguasai TVET dan teknologi. Sebab itu kita rancang kursus seperti AI pertanian dan AI lautan, selari dengan potensi Tawau dalam sektor pertanian, perikanan dan pelancongan.
“Pembangunan SAN Apas Balung Tawau bukan sekadar pembinaan sebuah sekolah, sebaliknya satu usaha membangunkan budaya ilmu dan modal insan berkualiti bagi melonjakkan Tawau serta Sabah secara keseluruhan,” katanya.
TERIMA KASIH: Lo menyampaikan cenderakenangan kepada Timbalan Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.
Bagi memastikan pelaksanaannya tepat dan berkesan, Lo memaklumkan pihaknya memohon bantuan serta panduan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), memandangkan projek itu merupakan pengalaman pertama seumpamanya.
Antara kerjasama strategik yang dirancang ialah dengan Maxhub, pengeluar peralatan AI terbesar dunia dan rakan strategik tunggal Microsoft, bagi membangunkan bilik darjah AI di SAN, SMAN dan universiti Islam di Tawau pada masa depan.
“Kita mahu pembinaan SAN Apas Balung Tawau ini menjadi contoh dan penanda aras pembangunan pendidikan Sabah.
“Jika mahu bangunkan Sabah, kita mesti ada modal insan yang benar-benar layak dan berkualiti,” katanya.
PENERANGAN: Lo dan rombongan mendengar taklimat mengenai UIAM.
Lawatan itu turut merangkumi kunjungan ke Bahagian Pendidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Putrajaya bagi mendapatkan penerangan mengenai sistem dan kurikulum pendidikan Islam, hala tuju lepasan sekolah agama serta potensi kerjasama pembangunan sekolah agama.
Di Darul Quran, Selangor, rombongan diberi taklimat silibus tahfiz, penggunaan AI dan digitalisasi, selain kaedah meningkatkan profesionalisme guru tahfiz dan agama yang merupakan input penting dalam pembentukan kurikulum SAN dan SMAN Balung Tawau.
Lawatan ke Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi pula memberi pendedahan kepada program latihan guru dan pentadbiran sekolah agama, termasuk peluang peningkatan profesionalisme guru SAN dan SMAN.
Rombongan turut melawat sebuah sekolah yang telah mengaplikasikan AI dalam bilik darjah di SJKC Sentul, bagi melihat secara langsung keberkesanan penggunaan teknologi dalam pengajaran.
Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), perbincangan diadakan berkaitan potensi mewujudkan cawangan universiti itu di Tawau, selain kursus yang bersesuaian dengan keperluan dan kekuatan daerah berkenaan.

BINCANG: Lo bersama pentadbiran UIAM berbincang mengenai cadangan pembinaan university islam di Tawau.
Mengulas hala tuju jangka panjang, Lo berkata kerajaan negeri berhasrat memastikan belia Sabah, khususnya di Tawau, tidak lagi berhijrah ke Semenanjung atau luar negara untuk mencari pekerjaan.
“Kita mahu perancangan lengkap, ada pendidikan, ada pekerjaan dan ada perindustrian. Tawau kaya dengan sumber laut, jadi kita bangunkan pendidikan berasaskan AI Agriculture dan Aquaculture, termasuk penubuhan AI Halal Hub,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu akan mewujudkan ekosistem pendidikan dan ekonomi yang saling melengkapi, sekali gus membuka peluang pekerjaan berkualiti kepada graduan tempatan.
“Kita bukan sekadar mahu sediakan pekerjaan, tetapi pekerjaan berkualiti dengan gaji yang baik untuk anak Sabah,” katanya.

SUMBANGAN: Lo menyampaikan sumbangan Skrin AI kepada UIAM.
Turut menyertai rombongan itu ialah Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Islam) JHEAINS, Awang Juri Ag Tahir bersama beberapa pegawai JHEAINS, serta Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau, Said Hassan Said Idrus.
Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan SAN Apas Balung, Sabran Zabur Abd Hamid, berkata pembinaan sekolah agama itu merupakan impian warga Balung yang dinantikan hampir 30 tahun, hasil perancangan awal mantan ADUN Apas, Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
“Impian ini akhirnya bakal direalisasikan pada 2026 dengan sokongan berterusan Datuk Lo Su Fui dan ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan,” katanya.

KENANGAN: Gambar kenangan bersama penuntut Sabah yang menyambung pengajian di semenanjung.
Sebelum ini, Lo turut mengetuai rombongan Parlimen Tawau bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah ke China dalam misi meninjau masa depan pendidikan, termasuk pelaksanaan konsep Kampus Pintar di Guangdong Guangya High School, Kampus Huadu.
Rombongan itu turut melawat Guangzhou Shiyuan Electronic Technology Company Limited (CVTE), syarikat teknologi tinggi global dalam industri paparan interaktif dan penyelesaian pintar.
Kesemua pendedahan dan input daripada lawatan dalam dan luar negara itu, menurut Lo, akan menjadi asas kukuh dalam memastikan SAN Apas Balung Tawau, SMAN dan universiti Islam yang dirancang benar-benar relevan, futuristik dan memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan Tawau dan Sabah.

ALBUM: Rombongan bergambar bersama pensyarah dan pentadbir di Darul Quran JAKIM.
Sumber : Utusan Borneo
|