|
|
Mahkamah, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman sembilan hari penjara ke atas lelaki warga Australia, Johnson Wen, atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam susulan tindakannya berlari dan cuba merangkul selebriti Hollywood, Ariana Grande, lapor BBC News.
Insiden itu dilaporkan berlaku Khamis minggu lalu ketika tayangan perdana Asia filem Wicked: For Good di Singapura.
Video yang dimuat naik dan tular di media sosial menunjukkan Wen, 26, melompat melepasi penghadang, mengejar Grande yang jelas terkejut dan merangkul bahunya sambil melompat-lompat.
Dalam kejadian yang berlaku di Resorts World Sentosa itu, Grande bersama dua pelakon iaitu Tan Sri Michelle Yeoh dan Cynthia Erivo sedang berjalan di karpet merah.
Insiden itu mencetuskan kemarahan ramai termasuk gesaan supaya Wen ditahan dan diusir, memandangkan beliau sebelum ini pernah mengganggu konsert dan acara selebriti lain.
Tindakan lelaki terbabit turut dikhuatiri mengganggu kesihatan mental bintang pop itu yang pernah berdepan Gangguan Stres Pasca-Trauma (PTSD) berikutan serangan bom bunuh diri di konsertnya di Manchester, United Kingdom, pada 2017.
Dalam perbicaraan yang berlangsung hari ini, media Singapura melaporkan, mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu pernah melakukan percubaan menceroboh tayangan perdana filem sebanyak dua kali.
Mengikut undang-undang Singapura bagi kes gangguan awam, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga S$2,000 (RM7,300), atau kedua-duanya sekali.
Setakat ini Grande belum memberikan sebarang komen mengenai kes itu dan selebriti itu masih dilihat muncul di acara hiburan.
Terbaharu, hujung minggu lalu, Grande muncul di sebuah majlis di Los Angeles. - AGENSI
Sumber: - BH |
|