Edited by JoyahMengayah at 3-11-2025 11:22 AM
IPOH: Sebanyak 727 harta yang disita milik usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berjaya dilelong dengan nilai RM1 juta, hari ini.
Keputusan lelongan diumumkan pelelong berlesen, S Punithawathi jam 1.40 tengah hari ketika proses lelongan dijalankan di banglo mewah Vida di Persiaran Bukit Meru, Meru Heights, di sini yang dimulakan sejak 10.30 pagi.
Punithawathi berkata, bidaan lelongan itu disertai dua pembida dan dimenangi oleh individu bernama Norzamri Abdullah yang juga seorang usahawan.
Katanya, seorang daripada dua pembida menarik diri kerana tawaran yang disifatkan 'tidak sesuai', menjadikan sesi lelongan hanya membabitkan seorang pembida.
"Kita ada seorang pembida saja yang mendaftarkan diri. Semua barang dalam senarai perisytiharan jualan ini akan dijual dengan harga RM1 juta," katanya mengumumkan keputusan lelongan itu.
Antara yang berada dalam senarai 727 barangan lelongan itu adalah tiga kenderaan mewah masing-masing berupa Toyota Vellfire, Toyota Grand Hi-Ace dan BMW X7.
Turut berada dalam senarai lelongan itu adalah pelbagai barangan yang terdapat di kediaman Vida antaranya perabot, barangan elektrik dan dekorasi rumah seperti pasu bunga.
Antara perabot yang dilelong membabitkan set sofa, meja makan, almari kabinet, meja solek, meja kopi dan almari kaca.
Barangan elektrik yang dilelong antaranya penyaman udara, mesin penapis air, peti ais, ketuhar, pembakar roti dan permainan video.
Acara lelongan itu turut dihadiri plaintif kes yang juga subkontraktor, Mohamad Taufik Kamarul Bari serta peguamnya, Samir Zainal Zainal.
Bagaimanapun, Vida dan keluarga tidak berada di lokasi lelongan diadakan dan hanya diwakili peguam.
Sebelum ini, dilaporkan proses lelongan 727 harta barangan peribadi Vida termasuk kenderaan mewah tertangguh sejak Disember 2024.
Notis perisytiharan jualan lelong harta kepunyaan usahawan kosmetik itu sebelum ini disiarkan dalam ruangan iklan akhbar tempatan dengan jualan lelongan itu dilakukan oleh pemiutang, AH Design Communication Sdn Bhd kepada Vida.
Tindakan itu susulan kegagalan Vida membuat bayaran dengan jumlah sebenar yang tertunggak kepada syarikat subkontraktor AH Design Communication selepas gagal mencapai tawaran penyelesaian serta permohonan Vida agar proses lelongan ditangguhkan hampir setahun atas alasan barangan yang disita adalah barangan pinjaman.
BH
|