Besut: Keluarga mangsa kemalangan tragis membabitkan bas persiaran yang membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu dan syarikat bas.
Rosdi Yunus, 56, bapa kepada Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi, berkata pihaknya bersama beberapa waris mangsa lain sudah menyerahkan dokumen awal kepada peguam untuk memulakan tindakan undang-undang.
"Pihak UPSI turut membantu dari segi khidmat nasihat undang-undang bagi membolehkan tindakan sepatutnya diambil," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Seorang lagi waris, Azman Mohamad, 63, bapa kepada Allahyarham Nurly Sahirah Azman, berkata dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Kami percaya dengan sistem perundangan negara," katanya.
"Saya tidak boleh memberi komen lanjut kerana tidak berada di lokasi kejadian, justeru, saya serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan," katanya.
Azman turut memaklumkan sebarang tindakan undang-undang akan diputuskan secara bersama selepas berbincang dengan keluarga waris mangsa lain.
Sementara itu, Nani Hamid, 49, ibu kepada mangsa tercedera, Nur Ain Najwa Mohd Ilias, berkata mereka sedang berbincang dengan pihak UPSI untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang.
"Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap individu atau syarikat terbabit sebagai pengajaran dan langkah pencegahan supaya insiden seumpama ini tidak berulang," katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan bas yang membawa penuntut UPSI dalam kemalangan tragis pada 9 Jun lalu dipandu pada kelajuan luar biasa iaitu 117.6 kilometer sejam, melebihi
dua kali gandahad yang ditetapkan.