|
View: 1135|Reply: 0
|
Hanya sah jika dilakukan secara berkekalan
[Copy link]
|
|
|
Al-waqf sinonim dengan al-habs yang bermaksud penahanan, al-man bererti larangan serta al-tasbil iaitu menyalurkan pada jalan Allah.
Jumhur fuqaha mendefinisikan wakaf sebagai suatu dedikasi harta dengan menahan harta itu daripada sebarang pemindahan pemilikan dan manfaatnya disalurkan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Pensyariatan wakaf adalah selaras dengan firman Allah SWT bermaksud: "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Surah ali Imran ayat 92)
Pada Surah ali Imran ayat 155 pula bermaksud: "Dan apa saja kebajikan yang mereka kerjakan, maka sekali-kali mereka tidak dihalanginya (menerima pahala) dan Allah Maha Mengetahui orang yang bertakwa."
Frasa 'sesuatu apa jua yang kamu dermakan' dan 'apa sahaja kebaikan' dalam ayat di atas bererti segala bentuk kebaikan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT termasuk amalan wakaf.
Prinsip wakaf
Fuqaha mendefinisikan wakaf berserta prinsipnya seperti berikut: "Menahan sesuatu harta yang boleh digunakan tanpa susut fizikalnya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud."
Frasa 'tanpa susut fizikalnya' di dalam pentakrifan wakaf manifestasi amalan wakaf hendaklah berterusan seperti yang termaktub di dalam hadis di bawah:
Maksudnya: "Apabila seseorang manusia mati, segala amalannya akan terputus kecuali daripada tiga sumber iaitu sedekah jariah , ilmu yang boleh dimanfaatkan dan anak soleh yang sering mendoakannya." (Hadis Muslim No 1255)
Maksudnya: "Daripada Nafi' daripada Ibn Umar beliau menyebut bagaimana Umar RA telah memperoleh tanah di bumi Khaybar. Beliau lalu bertanya kepada Rasulullah SAW, 'Wahai Rasulullah, saya telah memperoleh tanah di bumi Khaibar yang nilainya tinggi dan tidak pernah saya peroleh yang lebih tinggi nilai daripadanya. Apakah yang tuan nak saya lakukannya? Rasulullah SAW bersabda, 'Kalau kamu mahu, bekukan sumbernya dan bersedekah dengannya.' Lalu Umar menyedekahkan tanah itu kepada fakir miskin, kaum keluarganya, untuk memerdekakan hamba, tetamu dan dana orang musafir. Tanah itu tidak boleh dijual, dihibah atau dijadikan pusaka. Tetapi ia boleh digunakan dengan cara yang munasabah oleh pihak yang menguruskannya. Contohnya, memakan harta itu tanpa menjadikannya sebagai sumber harta." (Hadis al-Bukhari No 2587)
Hadis di atas menggariskan prinsip utama yang mendasari konsep wakaf, iaitu 'sedekah jariah' (amalan yang berterusan), 'tidak boleh dijual, dihibah dan diwarisi'. Perwakafan oleh Saidina Umar berupa sebuah ladang kurma di Khaibar yang turut menjana hasil pertanian adalah suatu manifestasi berhubung pensyariatan wakaf dan menggariskan prinsip utama yang mendasari konsep wakaf.
Berdasarkan hadis Ibn Umar, jumhur fuqaha´ iaitu mazhab Hanafi, mazhab Syafii dan mazhab Hanbali berpandangan bahawa wakaf hanya sah dilakukan secara berkekalan (ta'bid). Justeru, sesuatu wakaf itu tidak sah jika dilakukan secara bertempoh (ta'qit), seperti berikut:
i. Imam Muhammad bin Hasan Al-Shaiban daripada mazhab Hanafi menyatakan wakaf hendaklah kekal (ta'bid). Beliau menegaskan bahawa kekal adalah salah satu syarat sah wakaf. Ini kerana amalan wakaf dianggap sebagai satu sedekah jariah yang berterusan. Maka, sedekah jariah tidak boleh dibatasi dengan tempoh masa yang tertentu.
Justeru, wajib bagi pewakaf untuk menyatakan kekal di dalam sighah wakaf sama ada ia merangkumi lafaz dan makna ataupun cukup pada makna sahaja.
ii. Mazhab Syafii mensyaratkan kekal secara mutlak pada wakaf dan ia adalah tidak sah jika dilakukan secara bertempoh. Al-Shirazi menyatakan wakaf hendaklah dilakukan secara berkekalan kerana ia dianggap sebagai membelanjakan harta untuk kebaikan kerana Allah SWT. Harta yang diwakafkan hendaklah disalurkan kepada penerima wakaf (mauquf alaih) yang tidak terputus seperti golongan fakir, miskin, dan penuntut ilmu.
iii. Mazhab Hanbali turut menyatakan wakaf hendaklah dilakukan secara kekal dan tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang transaksi terhadap harta yang diwakafkan. Harta wakaf juga tidak boleh dikembalikan (ruju' al-waqf) kepada pewakaf selepas termeterai akad wakaf.
iv. Ulama´ kontemporari yang bersetuju dengan pendapat Ibn Qudamah menyatakan beliau lebih cenderung kepada mazhab Hanafi yang menyatakan wakaf tidak sah jika dilakukan secara bertempoh. Al-Raisuni juga menyatakan wakaf hendaklah dilakukan secara kekal kerana ia dianggap sedekah jariah (yang berterusan).
Kesimpulannya pensyariatan wakaf bersumberkan daripada al-Quran dan sunah Nabi SAW. Terdapat beberapa jenis wakaf iaitu wakaf khayri, wakaf ahli, wakaf mushtarak, dan wakaf tunai. Justeru, pengurusan wakaf perlulah menepati perundangan wakaf, hukum-hakam wakaf serta garis panduan tadbir urus syariah.
Penulis Perunding dan Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
|
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|