CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 250|Reply: 2

Bidaahkah amalan baca Yasin malam Jumaat?

[Copy link]
Post time 15-4-2025 08:48 PM | Show all posts |Read mode


Hari Jumaat merupakan penghulu bagi segala hari. Namun demikian, terdapat larangan daripada Nabi SAW bagi umat Islam mengkhususkan hari Jumaat untuk melaksanakan sebahagian ibadah tertentu. Di samping, menganjurkan mereka untuk mengerjakan sebahagian ibadah tertentu yang lain pula.


Antara ibadah yang dilarang untuk ditunaikan secara khusus pada hari Jumaat ialah qiamullail dan puasa. Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW bersabda: "Janganlah kamu sekalian mengkhususkan malam Jumaat dengan berqiam di antara malam-malam yang lain, dan jangan juga mengkhususkan hari Jumaat dengan berpuasa di antara hari-hari yang lain, kecuali memang bertepatan dengan hari puasa yang biasa dilakukan oleh seseorang daripada kamu." (Riwayat Muslim)




Manakala antara ibadah yang dianjurkan untuk dilakukan secara khusus pada hari Jumaat ialah membaca surah al-Kahf, berselawat ke atas Nabi SAW dan berdoa. Pertama, daripada Abu Sa'id al-Khudri RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat, akan terpancarlah baginya cahaya di antara dirinya dan Baitul 'Atiq (Kaabah)." Dalam riwayat lain: "...akan terpancarlah baginya cahaya di antara dua Jumaat."  (Riwayat an-Nasa'i dalam  as-Sunan al-Kubra, al-Hakim dalam  al-Mustadrak  dan al-Baihaqi dalam  Syu'ab al-Iman.  Hadis  hasan li-ghairih).  


Kedua, daripada Aus bin Aus RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya antara hari yang paling afdal bagi kamu sekalian ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah padanya berselawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu sekalian dibentangkan kepadaku."  (Riwayat Abu Dawud dengan sanad sahih).




Ketiga, daripada Abu Lubabah bin 'Abd al-Munzir, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Padanya (Jumaat) terdapat satu masa apabila seseorang hamba itu meminta sesuatu kepada Allah, nescaya Dia akan beri kepadanya selama mana dia tidak meminta sesuatu yang haram."  (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan at-Tabarani dengan sanad hasan)



Secara rumusan ringkasnya, ibadah yang dilarang pengkhususannya pada hari Jumaat adalah daripada jenis solat sunat dan puasa sunat. Manakala ibadah yang dianjurkan pula adalah daripada jenis bacaan al-Quran, berselawat dan berdoa.


Sehubungan itu, apakah amalan membaca Yasin malam Jumaat‎ itu satu bidaah yang sesat? Golongan Salafi Wahhabi antara yang lantang menegaskan bahawa ia adalah satu bidaah dan haram. Sebarang pandangan yang membolehkannya dianggap membuka pintu kepada pelbagai bidaah yang lain, justeru tiada kompromi mengenainya.


Apakah sampai sebegitu rupa kedudukannya? Bagaimanapun, pendekatan para ulama yang mempunyai kefahaman yang jelas dalam agama tidaklah sampai ke tahap sedemikian dalam masalah-masalah furuk. Membolehkan amalan membaca Yasin malam Jumaat tidak mesti bermakna boleh membuka pintu kepada pelbagai bidaah yang lain. Ini kerana sesuatu amalan yang diharuskan oleh ulama meskipun tidak jelas dilakukan oleh Nabi SAW, ia perlu melalui proses pendalilan dan kaedah usul yang ditetapkan. Bukan sekadar 'benda baik, apa salahnya'. Jika amalan tersebut tidak melepasinya, barulah dikira sebagai bidaah dan tertolak.


Selain tiada hadis yang melarang secara khusus, terdapat dalil khusus mengenai kelebihan membaca Yasin pada waktu malam. Daripada Abu Hurairah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Sesiapa yang membaca Yasin pada suatu malam kerana mengharapkan keredaan Allah, maka akan diampunkan baginya." (Riwayat ad-Darimi, al-Tabarani, Ibnu as-Sunni dan al-Baihaqi dalam  Syu'ab al-Iman. Hadis  hasan li-ghairih)




Selain Abu Hurairah, turut diriwayatkan daripada Jundab bin 'Abdullah, Ibn Mas'ud, Anas bin Malik, Ma'qil bin Yasar dan Ubay bin Kaab. Meskipun sanad-sanadnya lemah, namun ia saling menguatkan antara satu sama lain. Malam Jumaat sudah tentu termasuk sekali dalam hadis ini. Di samping terdapat dalam satu riwayat di sisi Qawwam as-Sunnah al-Asbahani dalam  at-Targhib wa at-Tarhib  tambahan lafaz: 'malam Jumaat'. Demikian juga di sisi al-Baihaqi dalam  Syu'ab al-Iman, namun sanadnya amat daif. Apapun, dalam bab  fadha'il a'mal  (kelebihan amalan) tidak mensyaratkan sesuatu hadis itu mesti berstatus sahih.


Selain itu, ia boleh dikiaskan dengan jenis ibadah yang dianjurkan pada waktu malam dan hari Jumaat iaitu bacaan al-Quran. Kesemua ini adalah  qarinah  (bukti sokongan) yang menjadikannya tidak boleh terus dikategorikan sebagai bidaah.   


Atas sebab itu, beberapa jabatan mufti negeri di Malaysia telah memfatwakan persoalan khilafiah adalah perkara  ijtihadiyyah  dan tidak boleh sama sekali dihukumkan bidaah kerana amalan tersebut telah diterima dan menjadi amalan ulama muktabar sejak dahulu, termasuklah isu ini. Semoga pencerahan ini dapat membantu masyarakat memahami isu amalan yang tidak jelas dilakukan oleh Nabi SAW, namun terdapat dalil umum dan  qarinah  yang membolehkannya.  


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)




This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 17-4-2025 09:07 AM | Show all posts
Jadi bukan bidaah le kan baca Yaasin mlm Jumaat? Sbb kat surau taman meolls ni tak baca sbb bidaah kata AJK surau.. huhuhu

Kalau puasa sunat 6 bole kan puasa hari Jumaat?
Reply

Use magic Report

Post time 17-4-2025 11:49 PM | Show all posts
KamikuP replied at 17-4-2025 09:07 AM
Jadi bukan bidaah le kan baca Yaasin mlm Jumaat? Sbb kat surau taman meolls ni tak baca sbb bidaah k ...

bidaah hasanah kut

masih bidaah, tapi since dia tak melanggar syariat Islam, atau mendatang kemudharatan, dan mencari keredhaan Allah. dia jadi bidaah yang dikira, elok.

wallahualam. sebab bidaah ni banyak jenis. ada ustaz kata okay je, takde apa. ada ustaz tak setuju. Iols pun confuse kadang2
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

27-4-2025 08:34 PM GMT+8 , Processed in 0.059395 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list