CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 8144|Reply: 0

Anita tawan Antartika

[Copy link]
Post time 15-3-2025 04:54 PM | Show all posts |Read mode

TANJUNG MALIM: Pengembara solo wanita negara, Anita Yusof, 57, yang juga Almuni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mencipta sejarah peribadi apabila berjaya menjejakkan kaki ke Antartika dalam misi jelajah dunia Global Dream Ride 2.

Anita memulakan ekspedisi solo bermotosikal mengelilingi dunia, berada di benua paling selatan itu selama 17 hari, bermula 15 Januari hingga 31 Januari 2025.

Anak bongsu daripada tiga beradik kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, perjalanan ke sana bukan sesuatu yang mudah kerana beliau terpaksa mengharungi cabaran getir ketika merentasi Drake Passage, satu daripada laluan laut paling berbahaya di dunia.

Dalam perkongsian di media sosialnya, Anita menceritakan pengalaman menempuh laut bergelora ketika menaiki kapal layar sepanjang 50 meter menuju Antartika.

"Berbeza dengan kapal persiaran besar yang lebih stabil, perjalanan menggunakan kapal layar memberi kesan besar terhadap keadaannya, terutama ketika perairan itu bergelora.

"Ketika dalam perjalanan, kapal saya terperangkap dalam siklon. Ia sangat menakutkan. Kapal terhuyung-hayang tanpa belas kasihan.

"Pinggan mangkuk di dapur sudah dipasang kemas pun berterbangan dan saya mabuk laut yang teruk serta perasaan tertekan.

"Pengembaraan selama lima hari setengah, dengan 75 peratus daripadanya berada dalam keadaan laut bergelora, menjadikannya antara cabaran paling sukar sepanjang misi Global Dream Ride 2," katanya.

Beliau berkata, keadaan mental dan fizikal juga benar-benar teruji sepanjang perjalanan, namun bertekad mahu menyempurnakan misi berkenaan.

Namun, segala kesulitan itu terubat dengan keindahan luar biasa Antartika yang digambarkan sebagai tempat paling indah pernah dijejakinya.

"Saya sudah dua kali menjelajah ke seluruh dunia, tetapi tiada apa yang dapat menandingi kecantikan Antartika. Ia begitu magis terutama apabila cuaca baik. Terlalu cantik," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menjaga kelestarian benua putih itu dengan menghormati hidupan liar seperti penguin, burung laut dan singa laut.

"Pelancong tidak dibenarkan menyentuh haiwan atau membawa pulang sebarang objek, termasuk batu sebagai cenderamata.

Selain keindahan landskap yang luar biasa, Anita turut berkongsi pengalaman melihat fenomena semula jadi yang menakjubkan, termasuk gunung ais raksasa yang berubah warna mengikut pencahayaan matahari serta keheningan luar biasa di persekitaran yang jauh daripada peradaban manusia.

"Di Antartika, tiada pencemaran bunyi, tiada manusia menetap secara kekal. Ia benar-benar tempat yang membuatkan saya berasa begitu kecil di hadapan kebesaran alam," katanya.

Ekspedisi ini bukan sekadar untuk memenuhi impian peribadi, tetapi juga untuk membuktikan wanita mampu menakluk dunia dengan keberanian dan tekad yang tinggi.

Beliau berharap pengalamannya ini dapat menjadi inspirasi kepada golongan wanita dan rakyat Malaysia supaya tidak takut mengejar impian, walaupun kelihatan mustahil.

Anita Yusof, yang sebelum ini diiktiraf sebagai Duta Global GIVI, terkenal dengan keberaniannya mengembara ke pelbagai pelosok dunia secara solo.

Misi Global Dream Ride 2 adalah pengembaraan dunia kali kedua, dengan matlamat bukan sahaja menjelajah, tetapi turut berkongsi pengalaman dan inspirasi kepada rakyat Malaysia.

Beliau juga berhasrat menulis buku mengenai pengalamannya di Antartika serta menganjurkan sesi perkongsian bagi memberi gambaran lebih mendalam tentang cabaran dan keindahan benua putih itu.


Sumber: BH Online

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-3-2025 10:48 PM GMT+8 , Processed in 0.596227 second(s), 10 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list