CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 17545|Reply: 0

Rumitnya konflik suami isteri, mesti cepat bawa berbincang atau lebih baik teruskan berdiam diri

[Copy link]
Post time 8-3-2025 07:22 PM | Show all posts |Read mode

RUMAH TANGGA merupakan satu ikatan yang bukan sahaja berlandaskan kasih sayang tetapi juga memerlukan kesabaran, persefahaman dan toleransi.

Tidak dinafikan bahawa dalam setiap perkahwinan, konflik adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan berikutan perbezaan latar belakang dan cara berfikir.

Namun, bagaimana konflik itu dikendalikan memainkan peranan penting dalam menentukan keharmonian sesebuah hubungan.

Justeru, Majoriti menemu bual secara ringkas bersama lima wanita dengan latar belakang berbeza tentang bagaimana mereka menghadapi konflik dengan pasangan masing-masing.


Bagi pelakon, Datin Seri Haznina Juren Haniff atau dikenali sebagai Nina Juren, 53, mengakui bahawa dahulu beliau cenderung untuk terus berkomunikasi secara bersemuka apabila menghadapi konflik.

Namun, dengan bertambahnya usia, beliau menyedari akan kepentingan untuk mengambil masa sendiri sebelum bertindak.

“Dulu saya suka cakap terus. Tetapi saya perasan apabila usia semakin meningkat, lebih baik tunggu sebab waktu muda, darah lain sikit. Jadi, kita tunggulah, beri masa,” kata isteri kepada Datuk Seri Ibrahim Md Nor itu.

Bertanya kepadanya mengenai tips menguruskan konflik buat pasangan baharu, beliau berkata, pasangan yang bertengkar perlu menulis sebagai langkah untuk meluahkan kemarahan sambil bermuhasabah diri.

"Apabila dah kahwin, kita kena banyak-banyak bersabar. Kalau bergaduh, cuba ambil satu kertas, sebelah tulis apa yang bagus tentang pasangan dan sebelah lagi tulis perkara yang tidak bagus. Kalau yang bagus lebih banyak, tutup mata sahajalah pada yang tidak bagus itu," kongsinya.

Sementara itu, doktor estetik, Dr. Shazlina Othman atau lebih mesra disapa sebagai Dr. Sha pula berkata, ia bergantung kepada keadaan masalah tersebut.

“Kadang-kadang kalau konflik kecil-kecil, kita harus tarik nafas, fikir dulu. Kemudian, hadapinya dengan kematangan seiring dengan usia yang semakin meningkat," katanya.

Selain itu, Aleia mengakui bahawa dalam tahun-tahun awal perkahwinannya, pertengkaran lebih kerap berlaku kerana mereka masih dalam fasa menyesuaikan diri untuk saling memahami.

"Kalau saya, kena kenal pasti terlebih dahulu masalah tersebut berpunca daripada siapa. Kalau daripada kita tu pujuk lah. Tetapi benda macam itu kebiasaannya akan mengambil masa, macam tahun pertama memang akan banyak bergaduh," kongsinya yang baru bergelar isteri sejak dua tahun lalu.


Justeru, Aleaia berkata, tolak ansur adalah kunci utama dalam hubungan yang bahagia.

"Kita kena saling memahami kerana tanggungjawab suami isteri kan berbeza. Kemudian, selesaikan dengan cara baik. Ambil masa untuk bertenang dahulu kerana kalau marah, sama-sama sakit," katanya.

Berbeza pula dengan Julaidah Julias yang sudah mendirikan rumah tangga hampir 20 tahun, beliau memilih untuk bersabar dan menunggu suaminya memujuk apabila berlaku konflik.

"Sebab usia pun sudah mencecah 60 tahun. Kalau saya bergaduh, saya lebih bertahan untuk tunggu sampai dia pujuk. Kemudian, pujuk diri sendiri supaya keadaan tidak lebih tegang.

“Kalau dia tidak pujuk juga, saya akan merajuk lebih lama lagi,” katanya sambil ketawa kecil.

Pun begitu, beliau sependapat dengan Aleia yang menegaskan kepentingan memahami pasangan dan bertolak ansur dalam hubungan.

Seperti pendapat lain, Aidira Sarah juga bersetuju bahawa komunikasi adalah kunci utama dalam perhubungan.

Beliau yang sudah berumah tangga sejak dua tahun lalu itu melihat perkahwinan sebagai satu perjalanan pembelajaran yang berterusan.

Ibu kepada seorang anak itu menyifatkan konflik sebagai salah satu elemen yang menguatkan perhubungan.

“Dalam hubungan, ia tidak selalunya indah. Awak perlu juga melalui hari-hari sukar. Itu yang sepatutnya membuat perhubungan lebih kuat.

"Setiap hari merupakan perjalanan belajar. Asalkan awak mempunyai fikiran untuk menjadi seorang yang lebih baik dan juga seorang isteri yang lebih baik, itu sudah cukup penting," katanya.


Silent treatment

Topik berhubung silent treatment turut menjadi perbincangan dalam hubungan suami isteri.

Melihat kepada perdebatan di media sosial mengenai segelintir pasangan mengamalkan konsep tersebut, bagi Dr. Sha, beliau tidak bersetuju dengan cara itu kerana baginya ia hanya memanjangkan masalah.

“Saya perlu lepaskan masalah itu. Saya suka berkomunikasi tentang masalah sebab saya rasa itulah cara terbaik menangani konflik. Berdiam sahaja tidak akan membantu apa-apa," ujarnya.

Aleia turut bersetuju bahawa silent treatment bukanlah penyelesaian yang baik dalam hubungan walaupun beliau mengakui pernah mengamalkannya sebelum ini.

"Dahulu, saya selalu buat macam itu, tetapi ia tidak membawa ke mana pun. Maka, lebih baik kita duduk berbincang dan sama-sama usaha untuk berubah ke arah yang lebih baik," kongsinya.

Meskipun setiap individu mempunyai pendekatan yang berbeza dalam menangani konflik, elemen utama yang ditekankan oleh kelima-lima wanita ini adalah komunikasi, kesabaran dan tolak ansur.

Dengan memahami dan menghormati pasangan, hubungan yang harmoni dapat dikekalkan dalam jangka masa panjang. — Majoriti


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-3-2025 03:44 AM GMT+8 , Processed in 0.046451 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list