View: 373|Reply: 1
|
Jangan tangguh, selesaikan segera projek perumahan untuk rakyat - Anwar Ibrahim
[Copy link]
|
|
KUALA SELANGOR: Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan semua pihak berkaitan supaya melaksanakan segera kerja pembangunan projek perumahan untuk rakyat mengikut masa ditetapkan sebaik ia diluluskan.
Perdana Menteri berkata, jika kelulusan sudah diperoleh, beliau tidak mahu adanya sebarang penangguhan kerana ia boleh menyebabkan wujudnya kos tambahan.
Katanya, beliau tidak mahu wujudnya sebarang unsur rasuah dalam pembinaan projek perumahan yang akhirnya memberi kesan kepada kos keseluruhan.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu tegas dalam memberi amaran supaya wang tidak hilang.
"Kos RM77 juta, RM10 juta hilang. Jadi saya hendak beri peringatan baik PR1MA (Perbadanan PR1MA Malaysia), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), majlis perbandaran. Kita kena ingat jika hendak angkat Malaysia sebagai negara hebat, kita kena sepakat, kena bersih.
"Jika semuanya sudah berjalan lancar dan kita sudah setuju, tangguh apa lagi. Jangan tangguh sebab kalau tangguh, ia ada kos tambahan (holding cost). Ia bebankan kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Projek perumahan itu adalah kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan Selangor, PR1MA dan Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB) dengan kos pembangunan sebanyak RM75 juta.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, projek PPR Harmoni MADANI Bestari Jaya adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu pekerja ladang di lima estet iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak untuk memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, pihaknya mahu projek PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya ini dijadikan model pembinaan perumahan untuk rakyat di kawasan estet.
"Terima kasih kepada Nga Kor Ming yang betul-betul mengambil inisiatif ini. Berapa banyak menteri ganti, tetapi projek tidak boleh siap.
Projek PRR itu berkonsepkan kawasan kejiranan perumahan moden yang selesa dan selamat dengan setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan makan, dapur, langkan (yard) termasuk tiga unit rumah bagi golongan orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Perdana Menteri membidas pembangkang yang gagal menyelesaikan isu kebajikan rakyat termasuk aspek perumahan dan industri padi ketika menjadi kerajaan sebelum ini.
Anwar berkata, pembangkang hanya bertindak 'bersuara' sekarang sedangkan ketika pentadbiran mereka sebelum ini, isu berkaitan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan kenaikan harga lantai padi tidak berupaya diselesaikan namun kini menyalahkan kerajaan sedia ada.
Beliau berkata, sebaliknya di bawah pentadbiran kerajaan MADANI, aspek perumahan untuk golongan memerlukan termasuk PRR di Bestari Jaya ini dan harga lantai padi baharu berjumlah RM1,500 per tan berjaya diselesaikan, hasil rundingan yang baik.
"Berapa banyak menteri berganti tetapi projek (perumahan PRR di Bestari Jaya) tidak boleh siap. Kadang yang cakap banyak, mereka sudah jadi pemimpin dulu tetapi hasut kata (kerajaan) belum buat.
"Masa kamu perintah kami buat apa. (Pembangkanarah pada kerajaan tetapi masa perintah 33 bulan, seringgit pun tak naik (harga lantai padi).
"Sebaliknya kita berunding cara baik dan apabila ada kuasa, kita mencari jalan bagi selesaikan," katanya.
Sumber - Berita Harian |
|
|
|
|
|
|
| |
|