|
Selepas membina nama sebagai pembaca berita, pengacara, penyampai radio dan pelakon, Hawa Rizwana, 29, kini mengambil langkah berani dengan menceburi bidang perniagaan.
Bagaimanapun, Hawa berkata, dia belum mampu mendabik dada sebagai wanita berjaya kerana masih banyak belum diterokai.
"Saya belum berpuas hati. Bukan maksud tak bersyukur, tapi masih ada impian, cita-cita dan hobi belum dibuat. Namun, dari segi kerjaya saya bersyukur ada banyak peluang, Alhamdulillah dengan rezeki ini.
"Tapi, semua ini tak mudah, ada cabaran yang saya tak pernah kongsi dalam Instagram. Dahulu, saya dalam bidang penyiaran berita, kemudiannya ceburi dunia hiburan tanpa dirancang.
"Jujurnya, bidang hiburan cabarannya lebih besar. Saya terbuka dengan lebih banyak kritikan, contohnya penampilan dan sebagainya.
Alhamdulillah, saya mendapat banyak maklum balas positif sejak tiga tahun lalu," katanya pada majlis pelancaran jenama tudungnya, Hawa Rizwana.co di Bangsar, hari ini.
Hawa bersyukur akhirnya berjaya tampil dengan jenama sendiri selepas sekian lama menyimpan hasrat.
Dengan satu demi satu pencapaian, anak kepada bekas pengacara program Selamat Pagi Malaysia, Profesor Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman itu berkata, dia mahu terus menjaga nama baiknya.
"Saya mahu menjaga sensitiviti, seperti penampilan. Sebabnya, saya tak mahu memperlihatkan imej negatif.
"Ibu bapa nak saya ke arah bidang pendidikan kerana saya membesar dalam keluarga pensyarah dan cikgu. Bila keluar gosip, mulalah ada bertanya dan saya perlu menjelaskan.
"Tapi, saya cuba jaga nama baik dan ia juga tidak mudah. Saya berkawan dengan sesiapa sahaja, tapi ada masanya saya juga terleka," katanya.
|
|