Pelancong asing cedera di kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli belah di Persiaran Gurney, di Georgetown, hari ini.
Gambar kejadian itu yang membabitkan lelaki berusia 25 tahun itu turut tular di media sosial.
![](https://uf.cari.com.my/forumx/mforum/portal/202502/05/183020acjiccb37cik2vvb.jpg) PELANCONG cedera di kepala selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pusat beli belah di Persiaran Gurney, di sini, hari ini. FOTO Tular.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 1.55 tengah hari.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 1.54 petang dan mangsa adalah pelancong lelaki warga asing berusia 25 tahun.
"Lelaki terbabit dipercayai mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terjatuh dari tingkat tujuh bangunan.
"Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh ambulans dalam keadaan separuh sedar untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Rozak berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah ditemukan di tempat kejadian.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu sehingga boleh mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.
Sumber- Harian Metro |