FARIDAH (tengah) menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada anak arwah, Nur Syakira Alisa di Simpang Renggam.
Johor Bahru: "Arwah memang tidak sabar melihat anak bongsunya masuk darjah satu pada sesi persekolahan baharu nanti dan sudah menyiapkan baju sekolah lebih awal, malangnya kini dia sudah tiada," kata Mohamad Nor Faiz Afendi, 30.
Adik kepada mangsa kemalangan maut itu berkata, tiga orang anak saudaranya bergelar yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa dan dia memutuskan untuk menjaga mereka.
Muhammad Affan Abdullah berusia 16 tahun, Nur Syakira Alisa,13, dan Muhammad Arfan, 7, adalah anak kepada Widiani Afendi, 39, penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, yang maut dalam kemalangan dengan lori di Kilometer (KM) 86, Jalan Johor Bahru - Air Hitam, 5 Januari lalu.
Katanya, Muhammad Affan dan Nur Syakira dapat memahami ketiadaan ibunya, sebaliknya Muhammad Arfan kerap meluahkan perasaan rindu terhadap arwah.
"Muhammad Arfan sangat rapat dengan ibunya kerana ketika berusia setahun, bapanya, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meninggal dunia ketika dalam tidur.
"Tidak dijangka dia kehilangan ibunya pada 5 Januari lalu akibat kemalangan jalan raya.
"Ketika kejadian, Muhammad Arfan dan adik-beradiknya turut berada dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabit dalam kemalangan, syukur mereka tidak mengalami kecederaan serius," katanya.
Mohamad Nor Faiz berkata, beberapa hari sebelum menghadap pencipta, arwah kakaknya sudah menyiapkan baju sekolah bagi ketiga-tiga cahaya mata termasuk anak bongsu yang akan ke darjah satu pada sesi persekolahan baharu.
Menurutnya, arwah menyatakan tidak sabar untuk melihat anak bongsunya ke darjah satu.
Katanya, bagaimanapun arwah merancang untuk membeli kelengkapan persekolahan yang lain pada awal Februari namun hasratnya tidak kesampaian.
"Kini saya mengambil alih tanggungjawab menjaga anak-anak arwah serta dibantu ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain.
"Memang pendapatan saya tidak besar namun Allah memberi saya kekuatan untuk mengurus anak saudara dan saya mahu mereka berjaya dalam hidup," katanya ketika menerima kunjungan daripada Presiden Permata Baiduri Malaysia, Faridah P Hamsa di sini hari ini.
Orang ramai yang boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun 151191531372 (Maybank).
|