Johor Bahru: Seorang penganggur kerugian sebanyak RM56,500 selepas tertipu dengan satu tawaran pinjaman wang dalam talian, awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang juga seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun membabitkan kes pinjaman dalam talian yang tidak wujud.
Beliau berkata, pada 22 November 2024, mangsa melihat iklan pinjaman wang di laman Facebook dan selepas berbincang, mangsa bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM250,000.
"Mangsa berikan maklumat diri bagi tujuan permohonan dan pada 2 Januari lalu, mangsa menerima panggilan daripada nombor talian 03-76268899 yang memaklumkan permohonan pinjaman diluluskan.
"Terpedaya dengan janji manis itu, pada tarikh sama hingga esoknya, mangsa membuat 12 kali transaksi pindahan wang yang didakwa bagi tujuan bayaran insurans, menaikkan skor kredit dan bayaran yuran pemprosesan pinjaman.
"Semua transaksi itu dibuat ke dua akaun bank Hong Leong berbeza hingga mencecah RM56,500," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, sehingga kini, mangsa masih belum menerima pinjaman yang dipohon sebelum akhirnya menyedari bahawa dirinya telah ditipu.
Katanya, hasil semakan mendapati nombor telefon yang digunakan serta dua akaun bank yang terbabit masih belum mempunyai rekod penipuan setakat ini.
Siasatan awal pihaknya juga mendapati kes itu menyasarkan individu yang mudah terpengaruh dengan janji pinjaman wang melalui platform dalam talian.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan iklan pinjaman dalam talian.
"Semak dahulu kesahihan iklan pinjaman melalui portal Semak Mule CCID atau rujuk dengan pihak berkuasa," katanya.
|