KUALA LANGAT - Seorang pelanggan sebuah gerai menjual masakan asam pedas menempuh detik mencemaskan apabila disamun individu berparang dalam kejadian di Morib di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 1.43 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian kira-kira jam 10 pagi itu berlaku ketika mangsa berumur 55 tahun itu berada bersama rakannya di gerai berkenaan.
Mangsa kemudian didatangi suspek dipercayai lelaki tempatan yang bersenjatakan parang sebelum bertindak mengangkat parang ke arah mangsa.
"Suspek kemudian mengugut mahu mencederakan mangsa dan meminta mangsa menyerahkan beg sandang miliknya," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki disamun individu berparang dalam kejadian di sebuah gerai di Morib pada Jumaat.
Katanya, mangsa menyerahkan begnya kepada suspek sebelum suspek melarikan diri.