CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 26510|Reply: 0

[Dunia] Malaysia teruskan kerjasama dunia, hormati keputusan AS tarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris

[Copy link]
Post time 23-1-2025 11:44 PM | Show all posts |Read mode



KUALA LUMPUR: Biarpun Amerika Syarikat (AS) berhasrat menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris, Malaysia bagaimanapun akan kekal bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk menangani isu berkaitan perubahan iklim.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pihaknya bersama komuniti antarabangsa akan memperkasa usaha dengan mengadakan pertemuan serta mencari kaedah terbaik bagi mengatasi isu terbabit.

Perkara itu, katanya, pernah dibangkitkan ketika pertemuan bersama wakil AS pada Persidangan Pihak-pihak Ke-29 (COP29) Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), sebelum ini.

"Itu keputusan mereka (AS mahu menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris) tetapi seluruh dunia perlu bertindak dan mencari jalan terbaik (mengatasi isu terbabit).

"Malaysia akan terus berbincang dan menjaga hubungan dengan negara yang kita jalinkan hubungan diplomatik, termasuk AS.

"Namun, kita akan teruskan berkomunikasi dengan pihak AS.

"Pada masa sama, akan tingkatkan usaha dengan negara lain untuk mencari kaedah bagi memastikan, mengatasi serta membina masa depan berdaya tahan terhadap perubahan iklim dalam konteks keputusan AS," katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Hasil Konvensyen UNFCCC: Pelancaran Laporan Pembabitan Malaysia di Persidangan UNFCCC-COP29 dan Laporan Ketelusan Dwitahunan (BTR) di sini, hari ini.

Beliau mengulas pendirian Presiden AS, Donald Trump yang sekali lagi berhasrat menarik diri daripada Perjanjian Iklim Paris, dengan Rumah Putih menyenaraikan langkah itu sebagai antara keutamaan penting.

Penarikan diri itu perlu dikemukakan secara rasmi kepada PBB dan akan berkuat kuasa selepas tempoh setahun.

Nik Nazmi berkata, Malaysia sudah menghantar BTR pertama mengikut tempoh ditetapkan kepada UNFCCC, pada 31 Disember lalu, sekali gus meletakkan Kuala Lumpur sebagai antara 85 daripada 198 negara yang memenuhi komitmen di bawah Perjanjian Iklim Paris.

Dokumen itu, katanya, mencerminkan komitmen Malaysia untuk mencapai sasaran Pelan Hala Tuju Sumbangan Ditentukan Negara (NDC), iaitu pengurangan 45 peratus untuk intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG), menjelang 2030.

"Laporan BTR pertama ini adalah pencapaian penting negara dalam usaha memperkukuh tadbir urus iklim dan membina kepercayaan komuniti antarabangsa.

"BTR pertama ini memberikan laporan telus mengenai inventori GHG, langkah mitigasi serta keperluan sokongan, sekali gus menekankan dedikasi terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam tadbir urus iklim," katanya.

Mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, beliau berkata, Kuala Lumpur bersama negara serantau akan memperkasa kesiapsiagaan untuk menyertai COP30 di Belem, Brazil, pada November depan.

"Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kita berhasrat memperkukuh suara kolektif ASEAN dalam tindakan iklim, memastikan ia selari aspirasi global.

"Kita akan membentangkan kenyataan bersama ASEAN mengenai perubahan iklim yang memberi tumpuan kepada kerjasama serantau, sokongan kewangan dan laluan pembangunan mampan bagi negara anggota, pada COP30," katanya.


Sumber : - Berita Harian

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 09:31 PM GMT+8 , Processed in 0.582917 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list