CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 14320|Reply: 0

[Negeri Sembilan] RNNS usaha lahirkan generasi al-Quran unggul

[Copy link]
Post time 15-1-2025 09:17 AM | Show all posts |Read mode

Seminar Internasional Rahsia Hafal al-Quran Sebulan bersama Pesantren Karantina Tahfiz Nasional Indonesia diadakan di Kolej Mara Seremban pada 11 Januari lalu. Gambar kecil: Faudzinaim

SEREMBAN - Mufti Negeri Sembilan menyokong inisiatif Rumah Ngaji Negeri Sembilan (RNNS) yang sedekad menyemarakkan cinta kepada al-Quran dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Sahibus Samahah, Profesor Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin berkata, dengan tema ‘Baca, Faham, Amal dan Hafal’, RumahNgaji membawa misi #MengQurankan Bangsa MengIkhlaskan Ummah serta melahirkan satu hafiz atau hafizah dalam setiap keluarga menjelang 2050.

“Al-Quran bukan sekadar Kitab Suci untuk dibaca dan difahami, malah ia adalah mukjizat agung yang wajib dijaga dan dipelihara termasuk melalui hafazan. Menghafaz al-Quran merupakan tradisi mulia diwarisi daripada Nabi Muhammad SAW dan generasi awal Islam.

“Tradisi ini melahirkan generasi ulama yang kukuh ilmu dan akhlaknya. Berpandukan Surah al-Qamar ayat 17, 22, 32 dan 40 menunjukkan ALLAH telah memberi kemudahan kepada kita untuk menghafaz al-Quran, namun memerlukan kesungguhan dan disiplin tinggi,” katanya.

Ustaz Ma'mun (kiri) menyampaikan al-Quran Yadain kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah WUIF, Ahmad Yani Abd Manaf (dua dari kiri) sambil diperhatikan oleh Faudzinaim (tengah)
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Internasional Rahsia Hafal al-Quran Sebulan bersama Pesantren Karantina Tahfiz Nasional Indonesia di Kolej Mara Seremban di sini pada 11 Januari lalu.

Tambah Faudzinaim, menghafaz al-Quran bukan sahaja memperkayakan jiwa, malah membentuk peribadi unggul.

Katanya, seorang penghafaz al-Quran akan sentiasa berada dalam penjagaan ALLAH SWT dan mendapat kelebihan yang besar di dunia dan akhirat.

Seminar itu dianjurkan bersama oleh RNNS, Wanita Perkim Seremban, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Yayasan Karantina Tahfizh Al-Qur'an Nasional (YKTN) Indonesia, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Madrasah Tahfiz YAMIN & Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM – Sekretariat Rakan Siswa Yadim (RSY), Sekretariat Pusat Islam (SPI) serta Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM).

Faudzinaim turut melancarkan tiga aktiviti utama RNNS pada tahun ini iaitu #SavingTheUmmah – Misi Surah As-Saff di peringkat Negeri Sembilan melalui program seperti Wanita Quran Hour (WQH), Arafah Quran Hour (AQH), Malaysia Quran Hour (MQH) dan World Quran Convention (WQC).

Aktiviti kedua ialah Program Karantina Hafal al-Quran Sebulan RNNS 1.0 yang bermula 25 Januari hingga 8 Februari, khusus untuk pelajar dalam cuti persekolahan dan turut terbuka kepada ibu bapa serta orang awan.

Aktiviti ketiga yang dilancarkan ialah Wakaf Pembangunan Masjid Ashabul YAMIN di Kuningan, Jawa Barat, Indonesia, dengan sasaran dana RM30,000 menjelang Ramadan.

Barisan ahli Rumah Ngaji Negeri Sembilan dan pelajar USIM yang menjayakan pelaksanaan Seminar Rahsia Hafal Al-Quran sebulan di Kolej Mara Seremban pada 11 Januari lalu.
Seminar sehari yang disertai lebih 400 peserta termasuk pelajar sekolah, tahfiz dan universiti serta guru, asatizah, pengusaha tahfiz, ahli Rumah Ngaji selain orang awam itu membuktikan semangat kecintaan mendalam terhadap al-Quran sebagai panduan abadi umat Islam sepanjang zaman.

Seminar berimpak besar kepada individu dan masyarakat Islam itu menjadi platform untuk bertukar pandangan, strategi dan inovasi serta menambah nilai dalam memperkukuh tradisi hafazan al-Quran.

Penyelaras RNNS, Gharizah Hashim berkata, seminar diadakan pada bulan Rejab yang mulia itu membawa simbolik permulaan langkah baharu RNNS dalam menyemarakkan misi MengQurankanBangsa, MengIkhlaskan Ummah dalam usaha memperkukuh tradisi hafazan al-Quran dalam kalangan umat Islam.

Katanya, Pengasas Teknik Yadain dan Pembina Pesantren Karantina Tahfiz Nasional Indonesia, Ustaz Yadi Iryadi dan Mudir Pondok Pasentren, Karantina Tahfiz Nasional Indonesia, Ustaz Ma’mun Al-Qurthuby berkongsi mengenai pendekatan intensif, fokus dan persekitaran kondusif bagi mempercepatkan hafazan.

“RNNS mengajak masyarakat untuk memanfaatkan peluang menyertai program hafazan, menyokong wakaf pembangunan masjid dan menyertai WQH pada 25 Mac ini.

“Misi RNNS adalah melahirkan sekurang-kurangnya seorang hafiz atau hafizah dalam setiap keluarga menjelang 2050,” katanya.

Orang ramai dijemput menyertai Karantina Tahfiz Al-Quran RumahNgaji Negeri Sembilan 1.0 yang merupakan program intensif dengan menyasarkan 10 juz selama dua minggu sepenuh masa bermula 25 Januari hingga 8 Februari depan di Madrasah Tahfiz Yamin, Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.

Pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://bit.ly/KTAQ2M dan maklumat lanjut boleh didapati di Facebook RumahNgaji Negeri Sembilan.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-1-2025 12:26 AM GMT+8 , Processed in 0.053587 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list